Khamis, 13 Ogos 2020
AM
31/07/2020 05:46 PM

KUANTAN, 31 Julai -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang mewujudkan satu akta khusus bagi menyelia dan melindungi industri muzik negara.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata buat masa ini, industri muzik tidak mempunyai akta atau organisasi khusus jika dibandingkan dengan industri filem yang mempunyai Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi melindungi industri itu. 

Bagi tujuan itu, Saifuddin berkata beliau akan melantik pegawai untuk menyediakan draf awal akta yang dijangka dapat disiapkan pada akhir tahun ini, selain turut melalui proses konsultasi dengan pihak berkepentingan.

"Kita perlu mengadakan perbincangan lebih mendalam kerana industri muzik bukan hanya melibatkan satu kelompok, sebaliknya ada penyanyi, komposer, penulis lirik dan sebagainya yang tidak harus dipinggirkan dalam merangka akta ini. 

"Antara perkara besar yang perlu dilihat ialah berhubung hak cipta yang mana sebilangan besar komposer bersungut walaupun kita sudah ada undang-undang seperti Akta Hak Cipta 1987. Perkara ini perlu lebih diperhalusi," katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

Terdahulu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menghadiri ibadah korban bagi kawasan  parlimennya di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Indera Mahkota 15 di sini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata cadangan mewujudkan akta khusus itu turut disuarakan oleh penggiat muzik tanah air termasuk tokoh muzik dalam beberapa siri pertemuan yang diadakan dengan pemain industri. 

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KKMM sedang melihat kaedah yang membolehkannya membantu memperkasakan semula industri nasyid tanah air yang pernah melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1990-an. 

Katanya perkara itu antara yang dibincangkan beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.  

"Ada kalangan kumpulan nasyid Malaysia yang berjaya menembusi pasaran luar negara tetapi mereka ini pergi secara sendiri-sendiri. Seharusnya kita bantu dan memudahkan usaha mereka untuk berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya. 

"Selain itu, apa yang jarang diketahui orang ialah dalam kalangan penggiat nasyid antarabangsa, mereka menganggap Malaysia sebagai home of contemporary nasyid dan ini perlu digunakan bagi mempopularkan semula genre ini," katanya. 

Saifuddin berkata beliau juga menyambut baik cadangan Zulkifli supaya Radio Televisyen Malaysia (RTM) menambah masa siaran dan kandungan berbentuk keagamaan termasuk program bual bicara menerusi televisyen dan radio kendalian RTM.

Cadangan itu akan dibincangkan dengan lebih mendalam oleh pegawai KKMM dan pejabat Menteri Hal Ehwal Agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan