Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Takziah Pemergian Syed Muhammad Naquib al-Attas

09/03/2026 09:52 AM

KUANTAN, 9 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang meninggal dunia petang semalam.

Menerusi hantaran Facebook, baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah atas kehilangan insan tersayang,” menurut hantaran itu. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut hantaran itu, Allahyarham merupakan tokoh ilmuwan yang banyak berjasa dan dikenali sebagai pengasas konsep Islamisasi ilmu pengetahuan yang memberi pengaruh besar terhadap perkembangan pemikiran pendidikan Islam moden di peringkat antarabangsa.

“Sepanjang kerjayanya dalam dunia akademik, Allahyarham menghasilkan puluhan karya ilmiah merangkumi pelbagai bidang termasuk falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan tamadun Islam.

“Antara karya berpengaruh beliau ialah Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam, yang menjadi rujukan penting dalam kalangan sarjana di seluruh dunia,” menurut hantaran itu. 

Kesultanan Pahang memaklumkan sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh wacana intelektual Melayu-Islam menjadikan beliau antara tokoh pemikir paling berpengaruh di rantau ini.

Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia pada 6.47 petang semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan