Ahad, 05 Julai 2020
AM
30/06/2020 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun  -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah mencabar Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)  membuktikan dakwaannya mengatakan banyak perniagaan akan gulung tikar jika gaji bulanan wajar di bandar-bandar besar ditetapkan pada RM2,700 sebagaimana dicadangkan oleh MTUC.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung MTUC,  J. Solomon berkata cadangan itu berdasarkan kepada laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2017 yang menyatakan pekerja bergaji rendah sukar menjalani kehidupan minimum.

“Oleh itu, amat sukar untuk menerima dakwaan bahawa selepas 60 tahun kemerdekaan dan bertahun-tahun menikmati hasil pertumbuhan ekonomi yang mantap, majikan Malaysia masih mendakwa mereka akan jatuh bankrap jika membayar gaji yang mencerminkan keadaan sebenar kos sara hidup di kawasan-kawasan bandar besar.

“MTUC mencabar MEF untuk membuktikan dakwaan tidak berasas ini dengan mengemukakan fakta dan angka atau sebaliknya mengakui bahawa ianya tidak lebih daripada satu lagi dakwaan palsu bagi mengetepikan hak yang sepatutnya dinikmati pekerja bergaji rendah ini,” kata beliau.

MTUC telah menggesa supaya pekerja Malaysia dibayar gaji wajar ini bagi membantu kerajaan mencapai sasaran supaya rakyat tempatan mengambil alih tugas yang secara tradisinya dilakukan oleh pekerja asing.

Ini termasuk kerja-kerja dalam bidang pembinaan, pembuatan dan industri perkhidmatan di bandar besar yang mana gaji minimum RM1,200 sebulan adalah jauh daripada mencukupi atau setimpal.

Beliau berkata majikan dan MEF amnya telah berkeras menafikan kenaikan gaji dan upah yang wajar sejak bertahun lamanya, demi melindungi keuntungan besar masing-masing.

“Malah pandemik Covid-19 turut dijadikan alasan oleh majikan untuk memberhentikan pekerja, memotong gaji secara sewenang-wenangnya atau memaksa mereka mengambil cuti tanpa gaji.

“MTUC juga mengesan tindakan majikan tertentu yang menjadikan Covid-19 sebagai alasan untuk menindas kesatuan dan memberhentikan pegawai kesatuan yang sebaliknya hanya bertindak mempertahankan hak ahli mereka.

“Mentaliti majikan yang lebih mementingkan diri sendiri ini semakin buruk saban tahun dan diperkukuhkan lagi oleh dasar kerajaan yang mesra perniagaan namun sebaliknya hanya menjejaskan pekerja,” kata beliau.

Oleh itu, katanya, jika kerajaan terus terpedaya dengan alasan remeh oleh majikan tidak bertanggungjawab yang menafikan hak pekerja mendapat gaji sewajarnya, kerajaan seharusnya memperkenalkan dasar-dasar sosial yang efektif bagi membantu kumpulan pekerja ini.

Sehubungan ini, Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) perlu merangka mekanisme yang sewajarnya bagi mengemukakan “tambahan” sara hidup bulanan sebagai jaringan keselamatan sosial untuk membolehkan pekerja di bandar-bandar besar mendapat gaji bulanan sebanyak RM2,700.

Kos skim ini perlu dikongsi bersama kerajaan dan majikan, terutamanya pihak berkepentingan utama ekonomi yang mendapat insentif dalam bentuk potongan cukai.

“Kami menggesa MySPC untuk menerajui usaha ini atau terus melihat majoriti pekerja Malaysia kekal dihimpit kesukaran serta dibebani dengan hutang isi rumah. Malah, harapan kerajaan untuk menarik mereka mengambil alih kerja yang ditinggalkan oleh warga asing juga akan buntu,” tambah beliau.

-- BERNAMA

  

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan