Rabu, 27 Mei 2020
AM
24/05/2020 10:06 AM

PUTRAJAYA, 23 Mei -- Semua petugas barisan hadapan yang perlu bekerja pada Hari Raya tahun ini, diminta menjalankan tugas dengan penuh kesabaran, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pengorbanan golongan itu amat dihargai, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Bagi mereka yang bertugas di sepanjang tempoh Aidilfitri ini, terima kasih diucapkan kepada anda semua yang berdedikasi berkhidmat untuk negara.

“Jadi kita harap barisan hadapan kita yang bekerja pada Hari Raya pertama, kedua, dan ketiga, bersabar. Insya-Allah pengorbanan kita untuk negara ini akan berjaya memutuskan rantaian jangkitan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di Malaysia, serta mengucapkan selamat bercuti kepada mereka yang bukan Islam.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya esok dalam suasana kebiasaan baru, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk jarakan sosial, bagi memastikan tiada peningkatan mendadak kes COVID-19.

Dalam sidang media hari ini, Dr Noor Hisham mengumumkan sebanyak 48 kes baru positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kini 7,185 kes, 5,912 kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan telah discaj daripada wad, selain angka kematian kekal pada 115. 

-- BERNAMA

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan