Sabtu, 30 Mei 2020
23/05/2020 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengagihkan wang zakat berjumlah RM4.325 juta kepada 21,000 orang fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

TNB berkata bantuan zakat itu diagihkan secara terus oleh warganya secara berperingkat sejak awal Ramadan, dengan sasaran penerima ialah mereka yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi operasi TNB di seluruh Semenanjung serta Sabah.

“Inisiatif ini melibatkan warga kerja kami turun padang ke segenap pelusuk negeri, menziarahi dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik,” kata Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata menerusi penglibatan warga kerja TNB ini, keseluruhan jumlah wang zakat itu telah diagihkan dan pihaknya berharap amalan ini dapat mengukuhkan rasa sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.

“Semoga usaha murni kami memperoleh keberkatan di bulan yang mulia ini. Kami juga berharap, sedikit sebanyak ia dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya.

TNB berkata bantuan zakat yang diagihkan adalah dalam bentuk wang saku dan barang keperluan harian yang amat diperlukan memandangkan kebanyakan penerima hilang punca pendapatan apabila terpaksa mematuhi perintah PKP untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Selain menyantuni kalangan beragama Islam yang terjejas, sebahagian penerima manfaat wakalah turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang layak, menurut TNB.

-- BERNAMA

 

 

MENARIK

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan