BEIJING, 1 Julai (Bernama-CMG) -- Perhimpunan sambutan ulang tahun ke-105 Parti Komunis China (PKC) berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang di Dewan Besar Rakyat di sini, pada Rabu.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping menyampaikan Pingat 1 Julai kepada para penerima.
"Saya mewakili Jawatankuasa Pusat Parti mengucapkan tahniah kepada para pemerima Pingat 1 Julai, ahli-ahli Parti yang cemerlang serta petugas dan jawatankuasa Parti di peringkat akar umbi yang cemerlang," kata Xi, yang juga Presiden China dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China.
Beliau berkata rakyat ialah pencipta sejarah dan mereka benar-benar wira sezaman.
"Sepanjang 105 tahun lalu, PKC berpegang teguh kepada aspirasi asal untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat dan mewujudkan kebangkitan nusa dan bangsa China.
"PKC akan bersolidariti dengan rakyat dengan ikhtiar yang berterusan untuk menulis bab yang lebih gemilang dalam sejarah bangsa China," kata Xi.
Beliau berkata China perlu mewujudkan pemodenan pertahanan negara dan angkatan tentera berkualiti tinggi.
Menurut beliau, usaha juga perlu dilakukan untuk mencapai matlamat perjuangan 100 tahun penubuhan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan mempercepat pembinaan PLA sebagai angkatan tentera bertaraf dunia, serta secara tegas mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan pembangunan, selain memberikan sumbangan lebih besar dalam menjaga keamanan dan pembangunan dunia.
Xi dalam ucapannya juga menegaskan matlamat untuk membina China sebagai negara sosialis moden dan merealisasikan sasaran "seratus tahun kedua" menjelang pertengahan abad ini.
"Semua ahli Parti dikehendaki komited kepada aspirasi asal dan menggalas tanggungjawab, bersama-sama rakyat pelbagai etnik untuk mencipta kecemerlangan sejarah yang baharu," kata Xi.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial