Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia Ke-13 Bermula

29/07/2025 12:33 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 29 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Merdeka, Jakarta Pusat hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 antara Malaysia dan Indonesia.

Ketibaan Anwar sempena lawatan kerja dua hari, disambut Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata, membincangkan pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.

“Doakan lawatan kerja kali ini membawa manfaat yang terbaik buat rakyat kedua-dua negara sahabat,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.

Rundingan seumpama itu kali terakhir diadakan antara kedua-dua negara ialah di Kuching, Sarawak pada 22 Nov 2017.

Delegasi Malaysia dan Indonesia turut dijadualkan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi, disusuli pertukaran empat dokumen persefahaman (MoU) dan sidang media bersama.

Selesai rundingan tahunan, Anwar akan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta Selatan atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan beliau akan menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN dalam konteks Pengerusi ASEAN oleh Malaysia bagi tahun 2025.

Anwar yang tiba di Jakarta pada Isnin, diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Perdana Menteri memulakan lawatan kerja itu dengan mengadakan pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dan ketua pengarang media utama di Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan