Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Dan Indonesia Capai Persetujuan Penting Dalam Rundingan Tahunan Ke-13

29/07/2025 07:35 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia mencapai beberapa persetujuan penting dalam Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta termasuk isu sempadan, peluasan kerjasama ekonomi serta usaha mempercepat pelaksanaan projek tenaga baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara pencapaian utama rundingan berkenaan ialah pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi isu sempadan termasuk Pulau Sebatik serta kesihatan, maklumat dan komunikasi serta tadbir urus Internet.

“Kami menyentuh pelbagai isu penting termasuk sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion, kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), serta kemudahan akses rentas sempadan yang lebih lancar di Entikong,” kata beliau pada sidang media selepas rundingan berkenaan di sini hari ini.

Anwar berkata pelaburan Malaysia dalam sektor-sektor strategik di Indonesia berteraskan semangat tulen untuk memperkukuh kesejahteraan serantau.

Perdana Menteri berkata hasrat Malaysia ialah untuk menjadi rakan pembangunan yang jujur dan amanah dalam pelbagai bidang, termasuk tenaga boleh baharu dengan Sarawak sebagai hab eksport infrastruktur, perumahan, pendidikan dan teknologi.

Mengenai isu sempadan laut di Laut Sulawesi, Anwar berkata perbincangan dijalankan berasaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS), serta kepentingan kedua-dua negara.

“Semangat kita ialah untuk menjaga kepentingan masing-masing sambil menghormati garis sempadan yang ditetapkan mengikut undang-undang antarabangsa. Kita teruskan dengan semangat itu supaya tiada ketegangan,” kata beliau.

Dalam soal keselamatan, Anwar berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Beliau berkata keutamaan Malaysia kekal pada keselamatan strategik di Selat Melaka dan Laut China Selatan, sambil mengingatkan bahawa nasib rantau ini perlu ditentukan rantau ini sendiri, bukannya oleh kuasa luar.

Berhubung gesaan segelintir pihak di Indonesia supaya Malaysia membantu dalam isu melibatkan ahli perniagaan Indonesia Mohd Riza Chalid, Perdana Menteri berkata perkara itu perlu dipertimbangkan mengikut kerangka undang-undang.

“Setakat ini, kita hanya dimaklumkan secara umum dan belum menerima sebarang keterangan jelas berhubung perkara terbabit. Namun, kita bersedia memberikan kerjasama penuh kerana Malaysia dan Indonesia ialah negara sahabat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Riza yang dinamakan pihak berkuasa Indonesia sebagai suspek kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023, didakwa kini berada di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan