KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 dilancarkan secara rasmi hari ini bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mampu milik.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan slogan Healing Meets Hospitality, MYMT 2026 menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan antarabangsa dengan menampilkan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi dan mesra pelanggan, di samping layanan mesra serta elemen kesejahteraan tersendiri.
“Malaysia telah lama diiktiraf sebagai destinasi pilihan dalam pelancongan perubatan. Pada 2024, kita merekodkan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan, menjana pendapatan sebanyak RM2.72 bilion iaitu peningkatan 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya dalam ucapan pelancaran kempen berkenaan di sini hari ini.
Dzulkefly yang juga Pengerusi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) berkata kedudukan Malaysia dalam sektor itu turut diperkukuhkan apabila negara tersenarai dalam kelompok 10 destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia oleh Nomad Capitalist pada Mei lepas, bersama negara serantau seperti Singapura dan Thailand.
Beliau berkata kempen ini turut menyokong matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menjadikan penjagaan kesihatan sebagai pemacu utama ekonomi dan reputasi negara, yang berpotensi menjana antara RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2030 menerusi limpahan manfaat kepada syarikat penerbangan, hotel, perkhidmatan pengangkutan dan komuniti tempatan.
Antara tumpuan utama MYMT 2026 ialah program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana (FMTH) yang memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam penjagaan klinikal, inovasi dan perkhidmatan pesakit antarabangsa.
“Empat hospital cemerlang yang kini berada di fasa akhir penilaian termasuk Institut Jantung Negara, Island Hospital Pulau Pinang, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre. Kita akan umumkan pemenangnya pada Disember ini,” katanya.
Kempen itu turut memperkenalkan penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sebagai duta rasmi, mencerminkan nilai kepercayaan, keaslian dan belas ihsan, selari dengan teras utama Penjagaan Kesihatan di Malaysia.
Dzulkefly berkata Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam kerjasama serantau bidang kesihatan sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN 2026, khususnya dalam aspek penjagaan rentas sempadan, mobiliti penjagaan kesihatan dan kesaksamaan kesihatan.
“Dengan komitmen dan kerjasama yang berterusan, saya yakin kita akan melangkaui jangkaan dan menetapkan penanda aras baharu dalam pelancongan perubatan global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial