Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KL Berhasrat Terajui Ibu Kota ASEAN Dalam Pengurusan Sisa Pepejal - Datuk Bandar

24/07/2025 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kuala Lumpur bertekad untuk menerajui usaha dalam kalangan ibu kota anggota ASEAN dalam menangani pengurusan sisa pepejal dengan memberikan penekanan terhadap tindakan praktikal berbanding deklarasi semata-mata, kata Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Memandangkan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, beliau berkata Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada perbincangan bandar utama termasuk Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC 2025) yang dijangka mengetengahkan pengurusan sisa sebagai antara agenda utama.

“Kadang-kadang kita mempunyai banyak sangat deklarasi tetapi kali ini kita mahu isytiharkan tindakan kita. Kita mahu laksanakan pengurusan sisa pepejal, kita juga inginkan langkah mitigasi dan kita juga berhasrat terokai penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan membangunkan ruang awam,” katanya dalam program bual bicara bertajuk ASEAN Dari Kuala Lumpur Ke Dunia terbitan Bernama TV di sini malam ini.

Maimunah berkata Kuala Lumpur sedang menggerakkan usaha untuk menghasilkan 'Pernyataan Bersama Pemimpin-Pemimpin Kuala Lumpur' dalam kalangan Datuk Bandar ibu kota ASEAN dengan matlamat merangka pelan tindakan yang dipersetujui bersama lengkap dengan garis masa dan komitmen yang boleh diteliti semula pada mesyuarat serantau seterusnya di Manila.

MGMAC 2025, yang akan berlangsung di ibu kota Malaysia, dijangka menghimpunkan sehingga 8,000 peserta dan dijalankan serentak dengan dua acara yang memfokus kepada pembangunan bandar iaitu Mesyuarat Datuk Bandar dan Gabenor Ibu Kota ASEAN serta Forum Perbandaran Mampan ASEAN.

Maimunah, yang akan mempengerusikan mesyuarat itu, berkata ia bukan sekadar platform untuk mempamerkan pencapaian tetapi juga berkongsi cabaran yang dihadapi oleh Kuala Lumpur dan bandar raya lain.

“Inilah peluang kita, bukan hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malah seluruh Malaysia dan pihak berkepentingan lain di Kuala Lumpur, untuk mengetengahkan segala usaha, pencapaian dan pertumbuhan kita selain berkongsi cabaran yang dihadapi,” katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan Kuala Lumpur di rantau ini, Maimunah berkata bandar raya itu berada selangkah di hadapan daripada segi perancangan pembangunan dan infrastruktur.

“Kita mempunyai perancangan sendiri, infrastruktur yang baik dan pada masa sama, kita juga memiliki seni dan budaya, dan Kuala Lumpur juga adalah hab bakat serta pelaburan,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan usaha berterusan Kuala Lumpur dalam memelihara warisan bersejarah melalui pelan Warisan Kuala Lumpur, yang disokong oleh peruntukan sebanyak RM700 juta daripada Khazanah Nasional.

Bercakap mengenai usaha menangani perubahan iklim, Maimunah berkata Kuala Lumpur sudah mempunyai dasar dan pelan tindakan bagi perkara itu dengan sasaran mencapai karbon neutral menjelang 2050.

Beliau berkata bandar raya itu sedang membangunkan model kembar digital bagi menyokong pengurusan bandar berasaskan data dan ketika ini mengendalikan Pusat Operasi Kuala Lumpur (KLCCC), yang dilengkapi 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) dengan dibantu oleh kecerdasan buatan.

Maimunah turut menekankan kepentingan penglibatan awam dalam perancangan serta belanjawan dan memaklumkan bahawa DBKL telah mengadakan lebih 70 sesi libat urus untuk merangka Pelan Tempatan 2040 selain melaksanakan belanjawan penyertaan responsif jantina.

“Saya sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan keterlibatan awam, bukan sekadar penyertaan tetapi juga penglibatan dua hala dalam setiap perkara yang kita laksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai amanat beliau kepada warga Kuala Lumpur semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Maimunah berkata beliau berhasrat menjadikan bandar raya itu sebagai sebuah bandar yang selesa dihuni untuk semua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan