ALOR GAJAH, 20 Julai (Bernama) -- Tiada sebarang isu kelewatan atau penggantungan projek menaik taraf benteng pantai di Tanjung Bidara, sebaliknya ia mengikut jadual ditetapkan selaras dengan reka bentuk teknikal terkini yang lebih efisien dan lestari.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata sehingga 25 Jun lepas, kemajuan fizikal projek itu mencapai 40 peratus iaitu lima peratus atau 25 hari lebih awal daripada jadual asal.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek menaik taraf benteng pantai di Tanjung Bidara dan ia dijangka siap pada 14 Sept tahun hadapan, mengikut kontraktor asal projek.
“Walaupun berlaku penangguhan sementara kerja fizikal di tapak susulan keperluan perubahan pada reka bentuk asal projek kerana perubahan struktur disebabkan hempasan ombak, namun ia tidak dihentikan.
“Keputusan itu diambil Bahagian Pengurusan Zon Pantai (BPZP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka bertujuan menilai semula reka bentuk asal projek selaras dengan keperluan teknikal semasa dan keutamaan perlindungan jangka panjang,” katanya selepas melakukan lawatan tapak projek di Kampung Balik Batu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata kerja-kerja di tapak projek akan disambung semula esok dengan reka bentuk baharu melibatkan penambahbaikan teknikal iaitu penambahan dua lapisan sistem pertahanan pantai (CDS) bagi meningkatkan kecekapan perlindungan daripada hakisan.
Beliau berkata selain itu, ia turut melibatkan pembinaan struktur kawalan hakisan pantai bagi menyokong kestabilan garis pantai dan kerja-kerja penambakan pasir pantai sebagai zon penampan hakisan semula jadi.
Projek menaik taraf benteng pantai di Tanjung Bidara melibatkan kos berjumlah RM2.29 juta itu mula dilaksanakan pada 15 Ogos tahun lepas dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 14 Sept 2026.
Pelaksanaan projek itu bertujuan melindungi kawasan pantai Tanjung Bidara daripada kesan hakisan dan impak fenomena air pasang besar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial