JASIN, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meluluskan peruntukan berjumlah RM1.5 juta bagi projek pembinaan struktur perlindungan pantai secara jangka panjang di Pantai Siring, Pulai di sini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek pembinaan struktur lapis lindung batu (rock rivetment) sepanjang 120 meter itu dijadualkan bermula pada Oktober dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
"Langkah ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menangani masalah hakisan di kawasan pantai berkenaan yang dikategorikan sebagai kawasan hakisan sederhana dalam Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) 2024 oleh JPS.
"Pantai Siring kini merekodkan kadar hakisan sekitar 3.7 meter setahun, menurun berbanding 6.5 meter pada 2015. Bagaimanapun, insiden benteng pecah berlaku sebanyak tiga kali sejak September 2024 termasuk kes terbaharu pada 5 Jun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau lokasi benteng pecah di Pantai Siring bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata fenomena air pasang besar menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan ternakan udang dan tapak pertanian berhampiran sekali gus menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk.
"Sebelum ini, kerajaan negeri melalui JPS Melaka telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan jangka pendek melibatkan pemasangan beg jumbo, penanaman cerucuk bakau, beg pasir dan tambakan tanah dengan kos RM100,000. Usaha itu berjaya menstabilkan kawasan terjejas buat sementara waktu.
"Kerajaan negeri menyambut baik kelulusan peruntukan ini dan komited untuk memastikan kawasan pesisir pantai Melaka terus dilindungi serta kekal lestari demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi komuniti setempat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial