Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

New Zealand Nyata Hasrat Sertai Majlis Halal ASEAN Sebagai Ahli Bersekutu - Ahmad Zahid

18/07/2025 08:51 AM

Daripada Ahmad Erwan Othman

WELLINGTON, 18 Julai (Bernama) -- New Zealand menyatakan hasrat untuk menyertai Majlis Halal ASEAN sebagai ahli bersekutu sekali gus menunjukkan komitmen untuk memperluas kerjasama halal dengan Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dizahirkan dalam beberapa pertemuan melibatkan pegawai kerajaan dan komuniti rakyat Malaysia di Auckland dan Wellington.

“New Zealand telah menyuarakan hasrat untuk menjadi ahli bersekutu dalam Majlis Halal ASEAN, dan ini satu perkembangan positif yang membuka ruang kerjasama lebih luas dalam ekosistem halal, bukan sahaja antara dua negara tetapi juga di peringkat serantau.

“Tentunya dalam banyak pertemuan mereka juga telah bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pengedaran produk-produk halal dari New Zealand untuk pasaran negara ASEAN dan juga untuk pasaran tradisional yang ada jaringannya antara Malaysia dan negara-negara di luar,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja lima hari ke New Zealand di sini, Sabtu (Jumaat di Malaysia).

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki dan Setiausaha Bahagian Kemboja-Laos-Myanmar-Vietnam dan Oceania Kementerian Luar Negeri John K. Samuel.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata penglibatan  negara luar seperti New Zealand dalam platform serantau seperti Majlis Halal ASEAN akan memperkukuh penyelarasan piawaian serta menjamin kebolehpasaran produk halal yang diyakini dan diterima pada peringkat global.

Beliau berkata Malaysia bersedia memainkan peranan sebagai hab halal serantau termasuk membuka peluang kepada syarikat New Zealand mengakses pasaran ASEAN melalui pelbagai inisiatif bersama termasuk penyertaan dalam pameran seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Ahmad Zahid berkata New Zealand juga bersetuju untuk menyertai MIHAS yang dijadual berlangsung pada September ini.

Beliau berkata negara itu juga akan terlibat dalam sesi padanan perniagaan bersama pemain industri dari Malaysia dan negara lain.

Lawatan kerja lima hari sejak 14 Julai oleh Timbalan Perdana Menteri ke New Zealand bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan industri halal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan