Daripada Ahmad Erwan Othman
WELLINGTON, 18 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang meremehkan lawatan kerja beliau ke New Zealand.
Beliau berkata pandangan sedemikian tidak wajar dan hanya meremehkan usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang baharu bagi Malaysia.
Matlamat utama dalam setiap lawatan kerja adalah untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan mengenal pasti bidang-bidang strategik yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan negara dan rakyat.
“Politik ialah makanan untuk orang politik sama ada menteri atau timbalan perdana menteri atau perdana menteri yang keluar negara, kesinisan itu jangan dilayan.
“Apa yang penting dalam lawatan kerja, lawatan rasmi adalah penimbaan kepada ilmu, pengalaman dan bidang-bidang baharu yang tidak ada di negara kita supaya kita boleh terokai,” katanya pada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja lima hari ke New Zealand di sini pada Sabtu (Jumaat di Malaysia).
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki dan Setiausaha Bahagian Kemboja-Laos-Myanmar-Vietnam dan Oceania Kementerian Luar Negeri John K. Samuel.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keikhlasan dan keterbukaan dalam menerima pandangan serta semangat untuk belajar dari negara lain seharusnya menjadi keutamaan, bukannya terperangkap dalam kitaran kritikan yang tidak membina.
“Kalau yang baik, tanyalah kawan. Kalau yang tak baik, tanyalah musuh. Musuh, ini orang yang tak suka dengan kita. Apa pun yang kita buat tetap tidak baik … jangan angkuh, jangan sombong, jangan ujub,” katanya.
Beliau turut menegaskan tidak wajar apabila kesinisan itu datang daripada mereka yang berlatar belakang agama, namun menyuarakan pandangan secara tidak berhemah sehingga menjejaskan semangat kerjasama dan pembangunan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan lawatan kerja lima hari beliau ke New Zealand itu telah membuka lembaran baharu dalam pengukuhan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara Oceania itu, merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, industri halal, pengurusan bencana serta pemerkasaan komuniti Orang Asli menerusi lawatan terhadap komuniti Maori, pertanian serta perdagangan.
Sepanjang lawatan kerja lima hari itu, Ahmad Zahid telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand David Seymour, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka, Menteri Pertanian dan Perdagangan Todd McClay serta Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Dr Shane Reti.
Lawatan kerja itu sebahagian usaha Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan rakan strategik di rantau Asia Pasifik.
Pada 2024, nilai dagangan Malaysia–New Zealand mencecah RM10.72 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi New Zealand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial