Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Tegaskan Pilihan Raya Terhad Di Myanmar Bukan Ukuran Demokrasi

11/07/2025 11:03 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- ASEAN menegaskan sebarang pilihan raya yang dijalankan secara terhad di Myanmar tidak boleh dianggap sebagai langkah ke arah demokrasi sekiranya ia tidak melibatkan penyertaan inklusif daripada semua pihak berkepentingan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pilihan raya yang hanya dijalankan di kawasan tertentu dan membabitkan pihak tertentu semata-mata untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Myanmar sedang menuju ke arah pemerintahan demokratik, adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Itu bukan satu kebenaran buat masa ini. Apa gunanya ada pilihan raya kalau ia hanya membabitkan satu bahagian, satu kawasan dan satu kumpulan rakyat sahaja?

“Kalau pilihan raya itu hanya untuk memberitahu dunia bahawa mereka sudah berdemokrasi, itu tidak betul,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, berakhir pada Jumaat.

Mohamad menegaskan bahawa keutamaan ASEAN pada ketika ini adalah memastikan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara secara menyeluruh, dan bukannya mendahulukan agenda pilihan raya yang bersifat sebelah pihak.

Lima perkara utama dalam konsensus itu ialah penghentian segera keganasan, penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dialog inklusif antara semua pihak berkepentingan, pelantikan dan penglibatan utusan khas ASEAN, serta pelaksanaan keseluruhan Konsensus Lima Perkara itu sendiri.

“Keutamaan kita (ASEAN) sekarang adalah gencatan senjata, bantuan kemanusiaan dan dialog inklusif.

“Jika semua pihak bersetuju untuk adakan pilihan raya yang benar-benar inklusif, barulah kita sokong, tetapi kalau masih ada yang ditahan, tidak diberi peluang menyertai proses demokrasi, itu tidak akan diterima oleh ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Mohamad turut menzahirkan penghargaan atas pendirian sebulat suara negara anggota ASEAN dalam mengeluarkan kenyataan mengenai Palestin, yang digambarkan sebagai pencapaian penting dalam diplomasi.

 “Kadangkala agak sukar untuk mendapatkan kenyataan yang dipersetujui oleh semua negara anggota. Alhamdulillah, kali ini kenyataan kita telah mendapat persetujuan daripada semua negara ASEAN,” katanya.

Mohamad berkata ASEAN bukan sahaja mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama, malah turut menerima pakai pelan tindakan bagi melaksanakan cadangan yang dibangkitkan oleh negara anggota pada sesi khas mengenai Palestin.

“Cukuplah dengan deklarasi, dengan kenyataan bersama, kini masanya untuk bertindak. Jadi, kita telah melakukannya dan kita mempunyai pelan tindakan untuk membantu bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata keutamaan pada masa ini adalah untuk memastikan gencatan senjata kekal di Palestin, kerana tanpanya, usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan atau pembinaan semula akan terbatas.

“Pertama sekali, kita mesti ada gencatan senjata kekal di Palestin. Kalau tiada gencatan senjata yang kekal, kita tidak boleh buat apa-apa. Jadi itu kita punya keputusan bersama-sama.

“Semua negara ASEAN telah menyatakan sokongan dan juga ketegasan untuk membantu dalam bentuk bantuan teknikal, latihan dan mana (negara) yang mampu berikan bantuan dalam bentuk kewangan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata pada Persidangan Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) pada Jumaat, beliau telah mengumumkan sumbangan daripada Malaysia sebanyak US$1 juta yang akan disalurkan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Bulan Sabit Merah Palestin.

Beliau berkata sumbangan itu sebagai tambahan kepada US$16 juta yang telah disalurkan sejak September 2023 bagi menyokong perjuangan Palestin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan