Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Menteri-menteri Luar ASEAN bersetuju memulakan pembangunan Pelan Tindakan (POA) baharu Forum Serantau ASEAN (ARF) sebagai dokumen panduan dalam menghadapi landskap geopolitik global yang semakin kompleks selepas 2025.
POA baharu itu bagi menggantikan Pelan Tindakan Hanoi II (HPOA II) 2020-2025 yang akan tamat hujung tahun ini, menurut kenyataan Pengerusi ASEAN pada ARF ke-32.
ARF ke-32 yang diadakan sempena Mesyurat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkatan pada Jumaat, bersetuju bahawa pelan tindakan baharu ARF perlu dibangunkan merangkumi langkah dan matlamat yang kukuh bagi memastikan kerjasama kekal relevan, berkesan serta inklusif selaras dengan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045.
Selain mengiktiraf kemajuan dicapai dalam pelaksanaan HPOA II 2020-2025, mesyuarat turut menekankan kepentingan kesinambungan dan ARF akan terus melaksanakan langkah memperkukuh keyakinan menerusi aktiviti di bawah Mesyuarat Antara Sesi ARF sementara pelan tindakan pasca 2026 sedang dibangunkan.
Mesyuarat turut menghargai komitmen berterusan rantau ini dalam menangani cabaran kompleks berpunca daripada keganasan, fahaman pelampau cenderung kepada keganasan (VECT) serta jenayah siber rentas negara khususnya penipuan dalam talian yang semakin meningkat, rumit dan kesan terhadap masyarakat.
Mesyuarat berkenaan juga menekankan kepentingan terhadap aspek keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sama ada dari segi penggunaannya mahupun infrastruktur, dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta menangani cabaran yang timbul dalam persekitaran pesat berubah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial