Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Negara seperti Malaysia dan Norway memainkan peranan penting dalam memperkukuh multilateralisme dan mempromosikan pematuhan konsisten terhadap undang-undang antarabangsa, di tengah-tengah ketidakstabilan global yang semakin memuncak.
Timbalan Menteri Luar Norway Andreas Motzfeldt Kravik berkata kedua-dua negara berkongsi pandangan asas terhadap dunia, khususnya keyakinan bahawa institusi pelbagai hala perlu dipertahan bagi menangani cabaran global.
“Kita berkongsi pandangan asas yang sama terhadap dunia, iaitu perlu mengekalkan multilateralisme untuk menangani masalah global seperti krisis iklim, kawalan ke atas kecerdasan buatan (AI) serta membangunkan ekonomi masing-masing dengan memastikan kita dapat mengurangkan konflik bersenjata.
“Malangnya, kita menyaksikan lebih banyak konflik berlaku. Jadi perkara ini perlu ditangani,” katanya kepada Bernama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.
Kravik berkata Norway dan Malaysia, bersama negara serantau lain, mengiktiraf bahawa untuk mencapai keutamaan bersama secara berkesan, ia memerlukan tindakan secara kolektif dan komitmen yang kukuh bagi mengekalkan multilateralisme.
Beliau berkata kedua-dua negara turut berkongsi komitmen terhadap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), serta keyakinan yang jelas terhadap penerapan undang-undang antarabangsa secara konsisten.
Menurut beliau, semasa sesi pembukaan AMM ke-58, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan tanggungjawab bersama untuk menegakkan undang-undang antarabangsa tanpa pilih kasih, iaitu prinsip yang menjadi pegangan konsisten dalam dasar luar Malaysia.
Kravik mengulangi komitmen Norway terhadap prinsip diplomasi, sambil merujuk kepada pendiriannya terhadap konflik global semasa seperti tindakan ketenteraan Israel di Gaza dan peluasan penempatan yang berterusan di Tebing Barat.
“Terdapat negara tertentu berpendapat bahawa dunia wajar dibahagikan mengikut kawasan pengaruh kuasa besar, dan ia amat bercanggah dengan prinsip yang dipegang,” katanya sambil menekankan keperluan untuk terus mengekalkan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan memperkukuh kerjasama pelbagai hala.
Sementara itu, mengulas mengenai krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah lain, beliau berkata negara seperti Norway dan Malaysia perlu terus menegakkan prinsip kemanusiaan antarabangsa dalam semua konteks.
Beliau berkata Norway menyokong hak Palestin untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat, dan menegaskan bahawa pematuhan kepada prinsip antarabangsa sentiasa menjadi dasar luar negaranya, pendirian yang turut dikongsi Malaysia dan negara serantau.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan prinsip ini, namun terdapat negara yang hanya menjunjung prinsip tersebut apabila ia menguntungkan mereka dalam jangka pendek,” katanya.
Kravik berkata Norway mengamalkan pendekatan yang konsisten dengan mengguna pakai prinsip asas undang-undang antarabangsa secara menyeluruh, tanpa memilih kawasan atau konteks tertentu.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menyaksikan 24 mesyuarat pada peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial