Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CYDES 2025: Perkukuh Cita-cita Malaysia Sebagai Hab Keselamatan Siber Serantau - Shamsul Azri

03/07/2025 08:23 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2025 mengetengahkan keupayaan keselamatan siber Malaysia dan menegaskan semula cita-cita negara untuk menjadi hab serantau terkemuka sekali gus memupuk kerjasama strategik untuk mengukuhkan daya tahan siber di peringkat nasional dan global.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata CYDES 2025 menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berdaya tahan siber yang dilengkapkan dengan keupayaan untuk mempertahankan, menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam dunia yang semakin digital.

"Penyertaan kukuh tahun ini, dengan wakil daripada 27 negara, 304 pempamer, termasuk delegasi antarabangsa terbesar dari China dengan 23 syarikat, dan lebih 11,000 pengunjung, melangkaui jangkaan dan mengukuhkan kedudukan CYDES sebagai platform terkemuka untuk kepimpinan pemikiran, inovasi dan kerjasama antarabangsa.

"Saya amat berbesar hati dengan penyertaan antarabangsa yang kukuh di CYDES 2025. Sepanjang acara ini, persidangan penting seperti Forum Strategi Keselamatan Siber Malaysia Ketiga 2025 dan Forum Keselamatan Siber ASEAN Ketiga 2025 menyediakan platform penting untuk membincangkan trend baharu muncul, berkongsi amalan terbaik dan memupuk kerjasama," katanya dalam ucapan penutupan CYDES 2025 di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata penglibatan peringkat tinggi seperti Meja Bulat Pemimpin Siber ASEAN, Dialog Dasar Siber ASEAN-Australia, Bengkel Strategi Kerjasama Siber ASEAN 2026-2030, Sesi Berkaitan dengan Pembangunan Keselamatan Siber China dan 12 mesyuarat dua hala, telah memperdalam hubungan serantau dan antarabangsa Malaysia, yang mencerminkan komitmen bersama untuk mengukuhkan penyelarasan dasar, membina kepercayaan dan meningkatkan tindakan kolektif dalam menangani cabaran keselamatan siber yang kompleks hari ini.

Beliau berkata antara pencapaian CYDES 2025 termasuk pertukaran Memorandum Persefahaman antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan enam institusi pengajian tinggi sekali gus membuka jalan untuk meningkatkan kapasiti keselamatan siber, perkongsian pengetahuan dan pembangunan bakat untuk memenuhi keperluan sektor awam dan swasta.

Shamsul Azri berkata satu siri bengkel berimpak tinggi dan sesi dipacu industri yang membolehkan penglibatan langsung B2B (perniagaan kepada perniagaan) dan B2G (perniagaan kepada kerajaan), telah menggalakkan peluang perniagaan, penyelarasan dasar dan kerjasama yang boleh diambil tindakan dalam kalangan vendor keselamatan siber, penyedia penyelesaian dan pengendali infrastruktur maklumat kritikal negara.

"Sebagai sebahagian daripada barisan pembinaan kapasiti siber, inisiatif seperti ASEAN My Cyber ​​Hero 2025, yang membabitkan 13,128 pelajar termasuk guru pengiring dari Malaysia dan Thailand, berperanan sebagai lebih daripada sekadar pertandingan; ia menjadi gerakan untuk memberikan inspirasi dan melengkapkan generasi baharu penjaga keselamatan siber di seluruh rantau ini.

“Bersama-sama, pencapaian ini mencerminkan kekuatan pelbagai aspek CYDES 2025 sebagai platform yang bukan sahaja memajukan kapasiti teknikal dan dialog berkaitan dasar, tetapi juga mempercepat inovasi, mengukuhkan kerjasama awam-swasta-akademik dan memupuk ekosistem siber yang berdaya tahan,” katanya.

Bertemakan ‘Advancing Cyber Resilience’, acara tiga hari itu yang menutup tirai hari ini, merupakan anjuran Majlis Keselamatan Negara (Jabatan Perdana Menteri) dan NACSA dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (AIS).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan