KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pasukan Fariq Al Nazaha dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Selangor yang menjuarai Kategori STAR Cyber Hero dalam pertandingan ASEAN My Cyber Hero 2025, semalam.
Beliau berkata pertandingan sempena Persidangan dan Pameran Pertahanan Siber dan Keselamatan (CYDES) 2025 itu bukan sahaja dapat menonjolkan bakat anak muda dalam bidang berteknologi tinggi, tetapi juga merupakan manifestasi kejayaan gabungan antara nilai Huffaz, semangat kepimpinan dan kecemerlangan digital.
Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyeru supaya kejayaan itu menjadi pencetus semangat untuk lebih ramai anak muda menyertai bidang keselamatan siber, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta teknologi masa depan.
“Sebelum pasukan dari sekolah aliran agama ini diumumkan sebagai juara ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), saya sempat menyaksikan sendiri kehebatan 22 pasukan terbaik yang telah dipilih daripada 4,419 pasukan dan seramai 13,218 peserta dari seluruh negara.
“Inilah wajah generasi Malaysia yang kita impikan iaitu berteraskan ilmu, berakhlak tinggi dan bersedia memimpin era digital dengan jati diri yang teguh…Insya-Allah, kita akan terus menyokong dan memperkasa generasi pelapis negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berharap inisiatif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara dan Micro Concept Tech Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd serta rakan industri itu dapat terus menggilap potensi anak muda Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya dalam bidang keselamatan siber yang semakin mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial