Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Komited Jadi Peneraju Ekonomi Hijau Global - Abang Johari

14/05/2025 12:11 AM

SIBU, 13 Mei (Bernama) -- Sarawak terus komited untuk muncul sebagai peneraju ekonomi hijau peringkat global dengan memanfaatkan kekayaan sumber asli serta memberi tumpuan kepada inovasi tenaga bersih.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata potensi negeri itu dalam sektor ekonomi hijau turut mendapat pengiktirafan pada sesi libat urus peringkat tinggi bersama ahli ekonomi dan pengurusan kanan di London School of Economics (LSE), baru-baru ini.

"Profesor di LSE menyatakan kita bertuah kerana memiliki apa yang mereka panggil sebagai 'modal asli', iaitu hutan semula jadi yang tidak terusik, potensi hidrogen sebagai sumber tenaga bersih dan penduduk yang boleh dilatih serta diperkasakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Kumpulan Rimbunan Hijau (RH) di sini malam ini.

Menurut Abang Johari, konsep modal asli yang semakin diiktiraf dalam wacana ekonomi global merujuk kepada aset berasaskan alam semula jadi seperti hutan, air dan biodiversiti yang menjadi asas kepada pembangunan mampan.

Katanya strategi pembangunan Sarawak menggabungkan kekayaan sumber alam dengan penekanan terhadap pembangunan modal insan dan inovasi.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak kini sedang melalui fasa peralihan daripada ekonomi digital kepada ekonomi hijau dengan menjadikan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi digital sebagai pemacu utama transformasi ekonomi negeri.

“Dengan aset semula jadi yang ada, komitmen terhadap pembangunan modal insan serta dorongan kepada inovasi dan keusahawanan, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama dalam ekosistem ekonomi serantau,” katanya.

Abang Johari turut menekankan peranan hidrogen yang dihasilkan daripada sumber air negeri itu sebagai salah satu fokus utama dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga hijau di Asia melalui kerjasama serantau ASEAN.

Namun begitu, tegas beliau, pembangunan modal insan tempatan perlu diberi keutamaan kerana ia merupakan faktor terpenting dalam menjayakan agenda ekonomi hijau di negeri ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan RH, Datuk Tiong Thai King.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan