KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo 2025 dan Sidang Kemuncak Kemampanan Pembinaan merupakan satu “seruan untuk bertindak” yang penting bagi industri pembinaan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata acara itu menandakan permulaan transformasi ASEAN dalam sektor pembinaan dengan Sarawak menerajui usaha berkenaan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia mempunyai peluang untuk menerajui agenda pembinaan dan infrastruktur serantau. Sarawak berbangga menjadi peneraju utama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian ICW Borneo 2025 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Abang Johari berkata tema “Pembinaan Inovatif untuk Masa Depan Mampan” mencerminkan komitmen Sarawak terhadap strategi pembangunan yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.
“ICW Borneo 2025 bukan sekadar acara serantau, tetapi satu platform yang akan membentuk masa depan sektor pembinaan ASEAN dengan menggalakkan kerjasama, inovasi dan kelestarian di seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa industri pembinaan kini sedang melalui perubahan, daripada menumpukan kepada skala dan kepantasan kepada memberi keutamaan terhadap inovasi, daya tahan dan keharmonian dengan alam sekitar.
“Dalam menghadapi perubahan iklim, kepesatan perbandaran dan kekangan sumber, kita perlu menerima teknologi bangunan hijau seperti panel solar dan sistem pengumpulan air hujan, penggunaan bahan rendah karbon dan lestari seperti buluh, kayu terpakai dan keluli kitar semula serta prinsip ekonomi kitaran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial