KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar makanan global dengan mencontohi kejayaannya dalam industri sawit dan getah, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi berkata negara perlu melihat pertanian dan keterjaminan makanan sebagai sektor pertumbuhan yang strategik, berbanding mengaitkannya dengan isu yang berulang.
"Pertanian dan kerterjaminan makanan sering menjadi agenda utama sejak 1970-an, kini, sudah tiba masanya kerajaan untuk melihatnya dengan lebih dekat, meyusun semula keutamaan sektor ini dan mengangkatnya sebagai keutamaan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam syarahannya di MIER Brown Bag Talk bertajuk “A Journey Through the Looking Glass: Towards Future-Proofing Malaysia’s Food Security” di sini hari ini.
Mohd Effendi yang juga bekas Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan berkata bil import makanan negara yang tinggi, kerentanan bekalan serta gangguan global seperti peperangan, pandemik dan perubahan iklim menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh sektor ini.
Justeru itu, katanya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta jaringan profesional pertanian negara perlu berperanan untuk menjadikan kejayaan dalam sektor sawit dan getah sebagai model dalam pengeluaran makanan, terutamanya melalui penggunaan teknologi moden dan kepakaran sedia ada.
Beliau turut menekankan bahawa selain sektor pertanian, bidang baharu yang sedang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI) dan kemampanan perlu diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kita boleh melonjak dalam bidang seperti AI dan kelestarian memandangkan kita sudah mempunyai pakar tempatan, selain mampu menarik kepakaran antarabangsa untuk membentuk dasar dan strategi yang kukuh,” katanya.
Sesi syarahan itu turut menampilkan pembentangan oleh Felo Kanan MIER Dr Larry Chee-Yoong Wong dan Khairuddin Md Tahir, yang mengesyorkan anjakan sistemik dalam pendekatan Malaysia terhadap isu keselamatan makanan.
Acara tersebut merupakan sebahagian daripada siri MIER Brown Bag Talk yang bertujuan merangsang dialog dasar mengenai isu-isu utama negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial