AM

Logo Kasut Didakwa Mirip Kalimah Allah, Pertemuan Dengan Pihak Jain, Pdrm, Mcmc Dalam Masa Terdekat

08/04/2024 06:34 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Susulan isu logo kasut keluaran Vern’s Holding Sdn Bhd yang didakwa mirip kalimah Allah, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab dalam masa terdekat, bagi menyelaras tindakan bersepadu menangani isu tersebut.

Ia termasuk pertemuan dengan pihak Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata menjadi komitmen utama jabatan itu untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahat umat Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa, kasut Vern’s yang dibelinya memaparkan logo yang seakan-akan kalimah Allah.

Mengulas mengenai pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd Datuk Seri Ng Chuan Hoo hari ini, Mohd Na’im berkata jabatannya menyerahkan proses selanjutnya kepada siasatan PDRM.

“JAKIM telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan. Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak PDRM,” katanya.

Mohd Na'im dalam pada itu menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Beliau berkata menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku, agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara, pada masa sama semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi tersebut, agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan