AM

Pemilihan Kampung Angkat MADANI KPN Ikut Garis Panduan ICU JPM - PDRM

16/06/2025 10:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pemilihan Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilakukan mengikut terma rujukan serta garis panduan yang ditetapkan.

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata pemilihan kampung itu juga mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau berkata berdasarkan garis panduan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024, setiap pemimpin perlu mengemukakan nama kampung pilihan masing-masing dalam tempoh dua minggu kepada ICU JPM.

“Pemimpin itu terdiri daripada ahli jemaah menteri, timbalan-timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan atau agensi persekutuan, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif badan-badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pemimpin perlu memilih kampung kelahiran masing-masing atau tempat dibesarkan, sekiranya tidak dapat memenuhi kriteria di atas, pemimpin boleh memilih mana-mana kampung yang bersesuaian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Santuni MADANI adalah satu kaedah meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung itu.

Sebelum ini, Razarudin pernah memilih dan menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Pertama PDRM di Kampung Jenal, Dabong di Kelantan pada 27 Ogos tahun lepas, yang memperuntukkan perbelanjaan RM2 juta.

“Impak program kemasyarakatan yang dianjurkan PDRM itu berupaya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, selain menyokong usaha kerajaan sejajar dengan slogan pasukan ‘Sedia Berkhidmat’ dan tema Hari Polis ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’," katanya.

Sebelum ini, seorang ahli majlis pimpinan tertinggi parti politik menyifatkan tindakan Razarudin memilih kampung ibunya sebagai Kampung Angkat MADANI 2025 sebagai amalan kronisme.

Razarudin semasa merasmikan Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI semalam berkata pemilihan Kampung Parit Seberang sebagai Kampung Angkat MADANI dilakukan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Beliau berkata pemilihan itu dilakukan berdasarkan penilaian tahap kemudahan di kampung berkenaan yang memerlukan perhatian khusus.

Razarudin yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 akan bersara dan majlis serah terima tugas beliau dijadualkan pada 20 Jun ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan