AM

Monsta Lancar Poster Promosi Siri Terbaharu Boboiboy Galaxy Windara

14/03/2024 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Animonsta Studios (MONSTA) telah melancarkan poster promosi untuk siri terbaharu BoBoiBoy Galaxy Windara yang dijangka menemui penonton pada Jun depan.

MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan sempena 13 tahun kemunculan adiwira kegemaran  Malaysia itu di kaca televisyen, poster berkenaan bakal menggembirakan peminat BoBoiBoy yang menantikan siri-siri berikutnya.

Kenyataan itu menyebut pada Disember tahun lepas, BoBoiBoy kembali dengan siri BoBoiBoy Galaxy SORI selepas lima tahun menyepi yang ditayangkan di saluran YouTube, TV9 dan Netflix.

Menurut kenyataan itu, siri berkenaan berjaya meraih sambutan luar biasa bukan sahaja dalam negara tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan memegang takhta Top 10 TV Series lebih 100 hari di Netflix Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak dalam kenyataan sama berkongsi kegembiraannya berikutan sambutan menggalakkan terhadap siri berkenaan.

"Kami menerima respons diluar jangkaan dengan jumlah tontonan yang amat tinggi untuk siri baharu BoBoiBoy. Ini membuktikan BoBoiBoy terus bertakhta di hati para penonton,” katanya.

Menurutnya MONSTA sedang berusaha membawa siri terbaharu BoBoiBoy Galaxy Windara ke pelbagai saluran media lain bagi menyajikan pengalaman menonton yang lebih optimum.

BoBoiBoy Galaxy Windara adalah siri kedua daripada empat siri BoBoiBoy Galaxy musim kedua.

Sejurus selesai tayangan siri animasi musim kedua ini, MONSTA bakal meneruskan pengembaraan BoBoiBoy menerusi filem BoBoiBoy yang ketiga.

MONSTA yang menyambut ulang tahun ke-15 tahun ini juga menjanjikan sesuatu menarik bagi peminat dengan kedatangan siri Mechamato Musim 3 dan filem P.A.P.A.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan