AM

Kementerian Komunikasi, FINAS Terus Bangunkan Sektor Animasi - Fahmi

13/03/2026 09:55 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Kerajaan komited untuk membantu pembangunan sektor animasi negara menerusi usaha yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi tujuan itu, satu sesi libat urus akan diadakan oleh FINAS selepas sambutan Aidilfitri.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata satu pertemuan telah diadakan bersama FINAS dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Menara Komunikasi, Putrajaya, semalam, bagi membincangkan isu-isu semasa penggiat industri animasi.

“Perjumpaan yang baik, memberi peluang memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi pemain industri animasi. Insya-Allah FINAS akan mengatur satu sesi pertemuan libat urus selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya. 

Fahmi berkata ANIMAS yang telah aktif sejak 2007 dan mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara, merupakan antara sektor perfileman penting dan berpotensi tinggi termasuk untuk dieksport. 

Mengambil contoh kejayaan filem animasi tempatan seperti "Papazola", beliau berkata karya tersebut bukan sahaja berjaya mengutip lebih RM68 juta di pawagam seluruh negara, malah turut mendapat sambutan di Indonesia.

“Insya-Allah, Kementerian Komunikasi dan khususnya FINAS akan terus membantu pembangunan sektor animasi,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan