AM

Ikma Akan Tingkat Kualiti, Relevansi Program Sijil Eksekutif 

07/03/2024 04:53 PM

PETALING JAYA, 7 Mac (Bernama) -- Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan memberi penekanan kepada peningkatan kualiti dan relevansi Program Sijil Eksekutif anjurannya bagi memastikan ia sentiasa memenuhi kehendak industri.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah IKMa Mohd Yahya Mat Shari berkata modul latihan lebih spesifik dan berorientasikan praktikal perlu dibangunkan untuk melengkapkan peserta program tersebut dengan kemahiran yang mendalam.

Selain itu, beliau berkata usaha untuk mengukuhkan hubungan bersama dengan industri akan dilaksanakan bagi memastikan program berkenaan selaras dengan tuntutan sebenar sektor koperasi negara.

"Kami yakin dengan tersusunnya langkah-langkah ini, Program Sijil Eksekutif akan terus dikenali sebagai pilihan utama dalam memperkasa dan meningkatkan kemahiran peserta dalam kalangan gerakan koperasi.

"Justeru itu, komitmen IKMa adalah untuk terus melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi mampu menjana impak yang lebih besar dalam komuniti dan menangani cabaran semasa dengan ketangkasan dan kecekalan yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis penganugerahan Sijil Eksekutif IKMa 2023 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, 71 peserta menerima sijil setelah mengikuti program melibatkan empat kategori iaitu Sijil Eksekutif Pengurusan Koperasi (SEPKo), Sijil Eksekutif Setiausaha Koperasi (SESKo), Sijil Eksekutif Pemasaran Digital (SEPDi) dan Sijil Eksekutif Pengurusan Runcit (SEPRACE).

Dalam pada itu, Mohd Yahya berkata ahli koperasi digalakkan mengikuti latihan secara berterusan di IKMa untuk meningkatkan kompetensi mereka dalam mengurus koperasi secara lebih profesional. 

"Pembelajaran berterusan di IKMa bukan sahaja membentuk individu untuk menjadi pemimpin masa depan dalam sektor koperasi Malaysia, tetapi juga memberikan nilai tambah kepada sumbangan koperasi dalam pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Program Sijil Eksekutif dianjurkan IKMa bagi meningkatkan kebolehan serta mencipta tenaga kerja profesional gerakan koperasi terutama dalam kalangan belia.

Penawaran program itu adalah selaras dengan tujahan ketiga Pelan Transformasi Koperasi 2021-2025 (TransKoM) yang menekankan kepada aspek pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan bagi mewujudkan modal insan produktif, berpengetahuan, berinovasi, berintegriti dan berdaya maju.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan