SINTOK, 19 Nov ( Bernama) -- Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengingatkan para graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengenai kepentingan amalan tadbir urus yang cekap dan berintegriti.
Baginda bertitah integriti dan tadbir urus yang baik serta cekap merupakan asas kepada kecemerlangan sebuah organisasi dan perlu diberi perhatian.
"Dalam pengamatan beta, jatuh bangun sesebuah institusi, syarikat, organisasi, pemimpin atau seseorang individu adalah bergantung kepada integriti yang dimiliki.
"Tadbir urus yang cekap adalah landasan kepada kejayaan sesebuah institusi atau organisasi. Ini melibatkan pengurusan sumber dengan bijak, memaksimumkan hasil dan mengurangkan pembaziran," titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-36 UUM di Dewan Mu'adzam Shah di sini hari ini.
Seramai 5,738 graduan menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.
Canselor UUM itu bertitah integriti adalah nilai asas yang harus dihayati oleh setiap individu kerana ia tidak hanya bermaksud tidak melakukan perkara salah tetapi juga berlaku jujur, adil dan bertanggungjawab dalam semua tindakan.
"Beta berharap para graduan UUM boleh menerajui program-program antirasuah untuk membantu sesebuah organisasi terutama dalam konteks tadbir urus yang baik dan berintegriti,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah pengurusan risiko rasuah boleh bermula dengan mengenal pasti punca berlakunya gejala itu dan kemudian mengambil langkah-langkah untuk mengatasinya.
Baginda bertitah ia termasuk melaksanakan latihan etika memperkukuh prosedur pemantauan serta pelaporan dan seterusnya mewujudkan proses pemantauan risiko.
"Selain itu, para graduan UUM boleh membantu sesebuah organisasi dan majikan dengan mewujudkan Dokumen Pelan Anti Rasuah Organisasi yang merangkumi pelbagai usaha untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku.
"Ia juga merangkumi dasar, prosedur, latihan dan inisiatif yang digunakan untuk mengurangkan risiko rasuah, meningkatkan kesedaran etika dalam kalangan kakitangan serta mempromosikan integriti.
“Pelan ini adalah satu pendekatan yang holistik untuk dilaksanakan bagi memastikan bahawa sesebuah organisasi dapat memerangi rasuah dalam semua aspek operasinya," titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut menyarankan para graduan UUM untuk memanfaatkan keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) agar dapat membantu meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam sesebuah organisasi.
Titah baginda, AI boleh digunakan untuk menganalisis data masa nyata dan dapat mengesan aktiviti yang mencurigakan sekali gus membantu organisasi mengenal pasti isu integriti serta rasuah dengan lebih cepat dan efisien.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan