KANGAR, 11 Julai (Bernama) -- Seramai 118 nelayan di Perlis menerima pelbagai bantuan melibatkan peralatan penangkapan ikan, bakul makanan dan sumbangan kebajikan dengan jumlah keseluruhan RM96,600 menerusi Program Rahmah Mesra MADANI bersama Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil, di sini, hari ini.
Muhammad Faiz berkata enam nelayan aktif menerima bantuan berupa enjin sangkut, kelengkapan pukat dan sampan membabitkan kos RM60,000; manakala 12 nelayan menerima Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM29,100.
Selain itu, 100 penerima turut mendapat bakul makanan dengan nilai keseluruhan RM7,500.
“Kerajaan sentiasa berusaha membantu komuniti nelayan yang memainkan peranan penting dalam menjamin sekuriti makanan negara, selain memastikan kebajikan mereka terus terbela.
“Kita mahu mereka terus turun ke laut dengan kelengkapan yang sesuai dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Beliau berkata pemberian bantuan itu merupakan sebahagian daripada program bersasar kerajaan dengan peruntukan keseluruhan RM3 juta untuk diagihkan kepada nelayan di seluruh negara.
“Ini bukti komitmen kerajaan dalam membela nasib nelayan dan keluarga mereka. Kita akan terus memperkasa pelaksanaan program seperti ini agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial