KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mempertimbangkan cadangan untuk menyiarkan lebih banyak lagi program berbentuk keagamaan dan program khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata pihaknya sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan bersesuaian sebelum ia dibawa ke peringkat perbincangan seterusnya.
"RTM melalui TV1 telah menyediakan rancangan keagamaan sebanyak 10.2 peratus. Kalau kita rasa peratusan ini tidak cukup dan perlu ditambah lagi, saya akan bawa cadangan ini ke RTM untuk perbincangan selanjutnya.
Sementara itu bagi memperkasakan masyarakat Orang Kurang Upaya, RTM sentiasa melaporkan dan menyediakan slot khas untuk golongan istimewa tersebut khususnya semasa hari OKU dan Hari Autisme dengan rancangan seperti laporan dan bual bicara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 yang bertujuan mengesahkan pemungutan fi berkenaan dengan apa-apa pembekalan program televisyen oleh Jabatan Penyiaran Malaysia semasa tempoh mulai 15 Mac 2001 hingga 28 Feb 2022.
Rang Undang-Undang berkenaan diluluskan di Dewan Negara hari ini selepas bacaan kali ketiga setelah dibahaskan empat senator. Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 22 Mei lepas oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lepas.
Terdahulu cadangan berhubung agar RTM memperbanyakkan rancangan keagamaan dan khusus untuk OKU dicadangkan Senator Isaiah Jacob.
Berhubung cadangan Senator Datuk Juhainis Abd Aziz agar RTM menubuhkan production house sendiri bagi menerbitkan filem, Teo berkata cadangan itu perlu diperincikan memandangkan ketika ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan industri filem negara.
“RTM memang ada unit untuk terbit drama bagi siaran televisyen, memang ada production house yang memfokuskan program drama (tetapi) bukan untuk filem. Namun ini tidak bermakna KKD tidak berhasrat untuk membangunkan industri filem,” katanya.
Beliau berkata RTM akan terus menyokong kebebasan berkarya dan sekiranya karyawan berhadapan masalah seperti terikat dengan peraturan sedia ada, KKD terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mereka bagi memahami kesulitan dihadapi mereka.
Katanya ketika ini RTM ketika ini mempunyai enam saluran TV yang menampilkan pelbagai program dengan bahasa utama di Malaysia iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban, Kadazandusun dan Bajau, selain turut memiliki 34 stesen radio seluruh negara.
“Ini termasuk program buletin berita dalam pelbagai bahasa supaya mesej dan maklumat dapat disampaikan kepada semua pihak, lain-lain drama, bual bicara kita juga akan sediakan sarikata untuk pastikan kandungan mudah difahami semua masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Teo berkata ketika ini program RTM yang mendapat sambutan tinggi ialah siaran sukan dan konsert hiburan seperti menerusi platform TikTok RTM telah mendapat rating 10.3 juta bagi perlawanan bola sepak Thailand melawan Indonesia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.
Terdahulu Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 sebagai persediaan menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika menggulung perbahasan bagi rang undang-undang itu berkata ia merupakan satu pindaan yang penting untuk membolehkan penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah selari dengan kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial