AM

Sabah Yakin Kerajaan Persekutuan Akan Laksana Bayaran Tuntutan MA63

15/02/2026 04:11 PM

TUARAN, 15 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah yakin kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembayaran tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara itu telah diputuskan menerusi proses perundangan dan ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata setakat ini jumlah bayaran yang akan diterima masih belum dimuktamadkan namun perbincangan di peringkat jawatankuasa sedang giat dijalankan.

“Di peringkat jawatankuasa, telah diadakan mesyuarat dan perbincangan masih berjalan. Mesyuarat terbaharu juga telah diadakan baru-baru ini bagi memperincikan perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah di Padang Istiadat, Tuaran di sini hari ini.

Hajiji yakin hasil perbincangan berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan menghasilkan keputusan positif termasuk pelaksanaan pembayaran dalam masa terdekat.

Pada 17 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan