IPOH, 18 Jun (Bernama) -- Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin menerima Anugerah Kehormat daripada Taj International College (TIC) sempena Majlis Konvokesyen Ke-10 TIC di Kelab Golf Diraja Perak, di sini hari ini.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah itu diberikan atas jasa Rumaizi mentadbir dan memajukan bandar raya Ipoh ke arah Bestari Sejahtera melalui Pelan Perancangan Strategik MBI 2021-2030.
Menurut MBI, majlis itu turut dihadiri Pengasas TIC Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif TIC Tina Tajuddin, Pengarah Eksekutif TIC Mohd Azad Jasmi serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jabatan Pendidikan Negeri Perak Aishah Mohamad.
MBI memaklumkan pihaknya bersama TIC pernah menjalinkan kerjasama dalam perkongsian pintar iaitu belajar secara digital ketika pandemik COVID-19.
Hal itu menurut MBI sejajar dengan hala tuju pembangunan Pelan Perancangan Strategik MBI 2021-2030 berdasarkan tujuh penanda aras iaitu pada penanda aras ketiga membabitkan belajar secara digital dengan Ipoh memiliki infrastruktur digital serta infrastruktur lain antara yang terbaik negara pada 2027.
Kerjasama dalam penanda aras keempat pelan itu pula menurut MBI ialah Ipoh Bandar Pintar pada 2030 yang banyak membantu pembelajaran pelajar melibatkan mereka yang perlu belajar secara dalam talian.
Menurut MBI, pada masa sama, agensi itu akan membantu program TVET dengan menyediakan tempat dan lokasi bersesuaian dalam menempatkan tenaga kerja untuk pelajar institusi pengajian tinggi bagi menjalani latihan berkaitan TVET.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial