KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi calon daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh Malaysia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila seramai 30 calon berjaya memperoleh semua A+.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata terdapat juga seramai 953 calon berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-) iaitu pencapaian yang lebih baik berbanding 904 orang pada 2021.
“Keputusan SPM 2022 bagi MRSM mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.485 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan tersebut.
“Sebanyak 24 MRSM telah berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Gateway to Holistic Education 2021-2025 Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan memperoleh GPM kurang daripada 2.50. Terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah,” katanya kepada pemberita di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata pencapaian subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.
“Subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan dan Bahasa Arab juga menunjukkan peningkatan GPS dengan MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Bahasa Arab,” katanya.
Beliau berkata berbekalkan kekuatan mental, fizikal, emosi dan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada pelbagai pihak, calon peperiksaan SPM 2022 telah menduduki peperiksaan dengan jayanya.
“Komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua warga guru memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2022. Sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar adalah penyumbang utama kepada kejayaan cemerlang,” katanya.
Justeru Asyraf Wajdi berkata MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2023 dan memperkasakan bidang STEM.
Seramai 7,899 calon daripada 55 MRSM di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan SPM 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial