WASHINGTON, 25 Jan (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS) Kevin McCarthy pada Rabu menyifatkan keengganan Presiden Joe Biden untuk membincangkan siling hutang negara sebagai "tidak bertanggungjawab".
Sputnik melaporkan McCarthy memberi amaran bahawa kelewatan dalam rundingan akan meningkatkan risiko kewangan bagi negara itu.
Menurut Rumah Putih, Biden dijangka mengadakan pertemuan dengan McCarthy tidak lama lagi untuk menyakinkan dewan perwakilan Kongres yang majoritinya anggota Republikan untuk meluluskan perbelanjaan tambahan walaupun mereka menggesa pemotongan bajet.
"Bagi presiden – beliau berkata tidak akan berunding – ini tidak bertanggungjawab. Kami akan bertanggungjawab, kami akan bersikap waras dan kami akan menyelesaikan perkara ini bersama-sama. Jadi, semakin lama beliau menunggu, semakin banyak beliau meletakkan bahaya fiskal pada Amerika ... Kita harus duduk dan selesaikan perkara ini dan berhenti bermain politik," kata McCarthy kepada pemberita pada taklimat yang disiarkan oleh penyiar C-SPAN.
Speaker Dewan juga menyifatkan hutang negara AS yang melebihi AS$31 trilion atau 120 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebagai "ancaman terbesar kepada Amerika" dan berkata bahawa beliau tidak sepenuhnya menentang keputusan untuk meningkatkan perbelanjaan negara, tetapi menyokong siling hutang yang lebih "bertanggungjawab".
Awal bulan ini, Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen memberi amaran bahawa AS akan segera mencapai had hutang tertunggaknya, dengan hutang negara AS kini berjumlah AS$31.46 trilion.
Minggu lepas, Perbendaharaan berkata agensi itu telah mula mengambil langkah luar biasa untuk mengelak kerajaan ingkar dalam pembayaran hutangnya dengan menangguhkan sementara bayaran yang tidak diperlukan segera untuk program penting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial