KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan membolehkan agensi-agensi tersebut memperkemas misi masing-masing selain mewujudkan sinergi lebih hebat berbanding bekerja secara berasingan.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata menerusi kerjasama di bawah satu bumbung, kesemua agensi terbabit juga akan lebih selaras dengan hala tuju yang sama.
“Kita (akan dapat) melihat penglibatan yang lebih baik selain menjadi satu langkah penjimatan. Pada masa sama, ia juga dapat memastikan peranan mereka tidak bertindih, terutamanya sejajar dengan jangkaan peningkatan eskport agrikomoditi bagi tahun ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa sempena Sidang Kemuncak dan Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES 2022) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berhasrat menjadikan penganjuran MIACES 2022 pada 26-28 Julai 2022 sebagai platform untuk mempromosi produk komoditi selain menaik taraf produk sedia ada melalui pelbagai kajian teknologi.
MIACES 2022 juga setakat ini telah menerima pengesahan kehadiran lima menteri masing-masing dari Bangladesh, Indonesia, Sri Lanka, India dan Iran selain menteri dari beberapa negara lain.
Sejajar dengan pelaksanaan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 yang berteraskan Rancangan Malaysia Ke-12, MIACES 2022 berperanan sebagai antara inisiatif bagi memastikan sektor agrikomoditi negara terus berkembang, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Kementerian yakin jumlah eksport agrikomoditi Malaysia akan terus mencatat peningkatan memberangsangkan dalam proses fasa peralihan negara ke endemik," kata Zuraida.
Setakat November 2021, pendapatan eksport agrikomoditi dianggarkan mencecah RM189.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak 41.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2020.
Perubahan itu didorong oleh peningkatan import di negara pasaran utama selain nilai komoditi yang tinggi, khususnya bagi produk berasaskan sawit.
KPPK sebelum ini menyasarkan nilai eksport agrikomoditi mencecah RM300 billion pada tahun ini, dipacu oleh peningkatan permintaan bagi kelapa sawit dan getah selain harga komoditi yang lebih tinggi.
-- BERNAMAber
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial