SEREMBAN, 29 Jun -- Menggunakan sentimen ‘kita serumpun’ kepada orang tempatan, merupakan antara modus operandi sindiket yang menyeludup migran ke negeri ini, kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Haris Fadzillah Abdullah.
Beliau berkata, sindiket tersebut mempergunakan orang tempatan bagi urusan penghantaran migran ke mana-mana lokasi, selain meminta bantuan mereka dari segi penyediaan rumah sewa kepada migran berkenaan.
“Kadang-kadang ada tekong dan bot nelayan yang didekati oleh sindiket ini tidak menyedari mereka dipergunakan untuk tujuan ini, dan meminta bantuan dengan menggunakan sentimen itu.
“Mereka (orang tempatan) akan diberikan duit minyak atau duit kopi (sebagai balasan), mereka tidak sedar bahawa ketika itu mereka sedang membantu sindiket ini membawa orang yang nak diperdagangkan (masuk ke negeri ini),” katanya ketika ditemu bual menerusi radio Negerifm di sini hari ini.
Justeru beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku dan orang ramai diminta supaya lebih peka dan perlu mendapatkan kesahihan dan perkara sebenarnya, sebelum menawarkan bantuan kepada sindiket berkenaan.
Dalam pada itu beliau berkata, keadaan geografi dengan jarak antara Perairan Selat Melaka dan perairan negara jiran yang berdekatan, dan hanya mengambil masa sekitar 40 minit sahaja turut menyumbang kepada kes penyeludupan migran ke negeri ini.
“Di Negeri Sembilan ini salah satunya jarak antara laut kita dengan Laut Indonesia agak hampir, jadi proses penyeludupan yang dilaksanakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu, berlaku dengan pantas,” katanya.
Selain itu katanya, faktor ekonomi dan politik di Malaysia yang lebih stabil berbanding negara jiran selain desakan hidup, memaksa mereka ke negara ini sekali gus menyebabkan mereka berdepan risiko ditipu dan diperdagangkan.
Sehubungan itu, beliau berkata APMM sentiasa bekerjasama dengan anggota penguatkuasa negara jiran, termasuk Badan Keamanan Laut Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut, dalam membanteras jenayah berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial