RENCANA

LAKSAMANA CHENG HO PERINTIS INISIATIF JALUR DAN LALUAN CHINA

20/01/2020 11:47 AM

Oleh Fadzli Ramli

MELAKA (Bernama) -- Ahli pelayaran tersohor China abad ke-15, Laksamana Cheng Ho  merupakan perintis dasar baharu kerajaan Republik Rakyat China iaitu Inisiatif Satu Jalur Satu Laluan (BRI atau OBOR), demikian menurut para akademik dan ahli sejarah.

Pada pandangan mereka, dasar kerajaan China yang  dibentangkan oleh Presiden Xi Jinping pada 2013 itu berakar umbi daripada sejarah pelayaran Cheng Ho untuk menjalin hubungan diplomatik dengan negara di Asia, Eropah dan Afrika yang disinggahi semasa penjelajahan itu.

Bernama berpeluang menemu bual para cendekiawan itu di Festival Antarabangsa Cheng Ho yang berlangsung di sini baru-baru ini. Acara itu adalah anjuran bersama Perbadanan Muzium Melaka dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sementara kerajaan Negeri Melaka menjadi tuan rumah.

(Inisiatif BRI atau OBOR dikenali juga sebagai Laluan Sutera Baharu Maritim, satu strategi pembangunan baharu Republik Rakyat China untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia dan negara lain).

Dekan Institut Penyelidikan Jalur dan Laluan (Shenzhen) bagi kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, Prof Tao Yi Tao berkata pengalaman daripada ekspedisi Cheng Ho @ Zheng He membuktikan bahawa interaksi antara pelbagai tamadun dan budaya seharusnya dimanfaatkan bersama-sama agar ia memberi keuntungan kepada semua dan tidak bersifat pilih kasih.

Merujuk kepada Inisiatif BRI, Prof Tao berkata dasar itu bertujuan untuk pembangunan secara inklusif dalam kalangan semua negara peserta agar kemakmuran dapat dikongsi bersama-sama.

Prof Tao menjelaskan pembangunan inklusif  haruslah atas dasar saling mengiktiraf dan menyokong usaha pembangunan.

Beliau menambah, pembangunan inklusif berpaksikan atas penerimaan dan menghormati perbezaan antara negara dan bukannya atas dasar persaingan yang membawa mudarat atau menggunakan universalisme untuk menghalang atau menafikan perbezaan sesebuah negara itu.

 

SIMBOL PERSAHABATAN

Menurut Prof Tao, Inisiatif BRI bukan projek jangka pendek tetapi sebaliknya satu platform untuk mengubah keadaan politik-ekonomi dunia.

Justeru, pelaksanaannya memerlukan sikap saling percaya-mempercayai antara semua negara terlibat dan ini boleh dicapai melalui keterangkuman budaya dan nilai.

"Mungkin, hanya dalam keadaan sedemikian, tamadun dan masyarakat dapat menghasilkan sumber yang dapat membawa keuntungan serta kekayaan yan lebih banyak," tambahnya.

Sementara itu, Prof Madya Choirul Mahfud dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember di Surabaya, Indonesia berkata Cheng Ho terkenal sebagai simbol persahabatan dari negara Asia ke Eropah.

"Dalam membincangkan warisan peradaban maritim Laksamana Cheng Ho di Kepulauan Melayu dan Indonesia, kita perlu terlebih dahulu memahami definisi pewarisan. Secara umumnya, warisan adalah legasi yang ditinggalkan oleh pewaris kepada keturunannya.

"Dalam konteks Cheng Ho, legasinya terus menerus memberi manfaat kepada kita semua sejak dari zaman dahulu, kini dan pada masa akan datang.

"Saya percaya kita semua adalah penerima warisannya secara langsung atau pun tidak langsung," kata Prof Choirul.

Jelas beliau, di Indonesia dan Malaysia, Cheng Ho bukan sahaja dikenang kerana memainkan peranan menyebarkan Islam, malah beliau juga dikenang kerana usaha beliau membina masjid, kuil, tokong, dan muzium.

 

SELAT MELAKA

Prof Wan Ming dari Institut Sejarah Akademi Sains Sosial Cina di Beijing, China, berkata apabila bercakap mengenai legasi yang ditinggalkan Cheng Ho, sememangnya Selat Melaka tidak dapat dipisahkan daripada kisah sejarah kerana kemasyhuran Melaka ketika itu berkait rapat dengan laksamana tersohor dari China itu.

"Kemasyhuran Selat Melaka tidak dapat dipisahkan daripada kisah kebangkitan Kesultanan Melaka dan berkait rapat dengan tujuh pelayaran Cheng Ho ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat. Persoalan tentang  bagaimana pelayaran Cheng Ho mengubah dunia dapat diketahui mengenai sejarah kegemilangan Selat Melaka,” katanya.

Beliau berkata pelayaran Cheng Ho itu turut menghapuskan masalah lanun dan menjadikan perairan Selat Melaka lebih selamat bagi pelaut.

Kebangkitan Selat Melaka berlaku pada masa kejayaan Laluan Sutera Maritim pada awal abad ke-15 dan ia menjadi contoh bagaimana kejayaan sesebuah wilayah boleh mendapat manfaat daripada hasil saling bekerjasama, katanya.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, berkata, walaupun China mempunyai sumber terutamanya tentera, senjata dan kapal untuk menakluk negara lain seperti pelayar barat, namun memilih untuk menjalin hubungan damai dengan orang lain dan menjadikan Cheng Ho sebagai diplomatnya.

Beliau berkata dalam jangka masa 1405 hingga 1433, Cheng Ho melakukan sebanyak tujuh pelayaran dengan mengetuai armada terdiri daripada 41 hingga 317 buah kapal dan diiringi antara 27,550 hingga 30,000 pelayar.

"Armadanya dilihat cukup besar untuk menjajah Melaka tetapi China melalui Laksamana Cheng Ho memilih untuk melaksanakan misi diplomatik yang kemudiannya memberi impak besar kepada perdagangan, kebudayaan, penyebaran Islam dan hubungan antarabangsa yang kesannya dapat dilihat sehingga hari ini, " kata Awang.

Jelas bahawa Cheng Ho membawa misi persahabatan, keamanan dan kehormatan Dinasti China ke negara atau kerajaan asing, tambahnya.

"Semangat ini harus menjadi landasan BRI yang melibatkan 124 negara di seluruh dunia," katanya.

 

Diterjemah dan disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan