RENCANA

TIDAK SUKAR CAPAI PERPADUAN JIKA KITA IKHLAS

21/06/2019 04:07 PM

Oleh Ravindran Raman Kutty

Penulis Ravindran Raman Kutty adalah pengamal komunikasi dan felo Institut Perhubungan Awam Malaysia.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, saya berkesempatan berkunjung ke lima buah rumah terbuka. Juadah yang dihidangkan di rumah bekas boss saya dan rakan saya, sungguh lazat. 

Selepas habis makan, kami berbual tentang Malaysia dan “langkah ke depan”.

Banyak isu yang kami sentuh termasuk ekonomi, rasuah dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Banyak kali saya mahukan jawapan dan bukan sekadar membuat andaian atau bersetuju dengan pengkritik. Ketika berbual rancak, ada ramai yang datang untuk menyertai perbincangan. Ada doktor, ahli bank, ustaz, ahli perindustrian, ustaz dan seorang rakan kongsi audit kanan warga asing.

Masing-masing bersetuju kerajaan yang ada sekarang memerlukan lebih masa untuk mendapatkan impak. Terdapat juga permintaan supaya pemimpin yang ada sekarang tidak lagi terjebak dengan amalan buruk yang didakwa dilakukan oleh kerajaan  terdahulu.  

Semuanya sekata bahawa kepentingan Kumpulan B40 mesti diberi perhatian.  Kumpulan B40 adalah kritikal dan jumlah mereka adalah agak besar jika dikira dari segi pengundi. Semestinya keluhan serta kebimbangan mereka seperti harga makanan serta kos sara hidup yang melambung, terutamanya di kawasan bandar, perlu diberi perhatian.

Ahli bank yang turut menyertai perbincangan dengan pantas menambah bahawa meskipun terdapat lambakan flet bangunan tinggi di bandar, ianya tidak akan dapat menyelesaikan keperluan kumpulan B40.

Perlantikan Latheefa Koya juga isu panas tetapi masing-masing kelihatan selesa dengan perlantikan beliau. Ketua baru SPRM itu adalah bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan terkenal dalam kalangan pengamal undang-undang.

Rakan kongsi audit pula mencelah Latheefa mungkin seorang wanita yang berkebolehan tetapi berapa banyak yang beliau tahu tentang hal ehwal dan budaya kerja SPRM?

 

Perbincangan semakin menjadi hangat apabila kami menyentuh tentang perpaduan negara dan bagaimana kita boleh mencapai lebih lagi. Kontroversi majlis berbuka puasa di Johor yang menyebabkan Sultan Johor menzahirkan rasa dukacita turut dibincangkan. Semua bersetuju Sultan Johor tidak dimaklumkan dengan sewajarnya mengenai perkara itu.

Ahli perindustrian yang turut menyuarakan pandangannya berkata bahawa agama tidak boleh dilihat dari konteks jenama. Sekiranya agama dilihat seperti Cola, Reebok atau Porsche, kita tidak boleh berfikir secara waras. 

Jenama komersial diwujudkan keranan sebab iaitu untuk kepentingan. Agama bertujuan untuk kemanusian. Jika kita campur-adukkan keuntungan dengan kemanusiaan, kita akan mendapat musibah.

Agama bukan jenama untuk kita bandingkan. Kita jangan sekali-kali memperlagakan agama atas nama kehebatan. Setiap agama ada tujuannya. Setiap agama mengajar kebaikan dan jangan memperlekehkan agama orang lain.

Menurut lelaki yang dipanggil ustaz, terdapat banyak sangat sekolah agama pondok dan pada pandangan beliau, guru agamanya tidak mendapat latihan. Beliau mahu Kementerian Pendidikan melaksanakan modul standard untuk semua sekolah agama pondok dan meletakkan semuanya di bawah naungan Kementerian untuk mencegah ajaran sesat.

 

Ahli bank menambah meskipun budaya perpaduan yang kuat terpahat dalam fikiran kebanyakan rakyat Malaysia, keadaan yang berbeza wujud dalam kalangan generasi milenial, yang merupakan komponen kritikal penduduk negara ini. Beliau turut melontarkan soalan peranan media dan ahli politik dalam menggalakkan perpaduan negara.

Untuk meningkatkan perpaduan negara, rakyat Malaysia mesti bercakap tentang kepelbagaian mereka dan bukannya kesusahan. Media arus perdana mesti menyiarkan lebih banyak artikel tentang bagaimana rakyat Malaysia berganding bahu, makan serta bermain sekali untuk memenangi Piala Thomas serta pingat-pingat di kejohanan antarabangsa. 

Ada juga cadangan supaya untuk perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Gawai dan Deepavali, syarikat diberi pengecualian cukai sekiranya mereka menggalakkan perpaduan, sebagai contoh menerusi iklan mereka.

Langkah ini akan menggalakkan lebib banyak lagi syarikat swasta memainkan peranan yang lebih besar untuk perpaduan negara. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu juga menyiapkan agenda untuk semua pengeluar filem supaya menghasilkan filem dengan perpaduan negara sebagai tema seperti filem yang diarahkan oleh Seniman Agung Tan Sri P Ramlee. Salah satu filem beliau yang hebat ialah 'Gerimis'.

Tuan rumah majlis hari raya berkenaan -- bekas bos saya - kemudiannya mengeluh bahawa makanan Malaysia tidak pernah mendapat pengiktirafan yang baik di luar negara meskipun kita mempunyai banyak makanan yang sedap. Perlu ada usaha untuk mempromosikan semua jenis makanan Malaysia tanpa mengira sama ada ia makanan Melayu, Cina atau India.

Makanan seperti laksa kari, mi rebus dan char kway teow memang menjadi kesukaraan ramai. Ada yang berkata untuk memenangi hati seorang lelaki ialah dengan menyediakan makanan lazat, jadi cara terbaik untuk menjalin perpaduan di kalangan rakyat Malaysia ialah menerusi makanan yang sedap!

 

Perpaduan Negara nampak mudah tetapi rumit, tambah ustaz. Beliau membuat ibarat seorang lelaki yang menyintai seorang wanita, jika lelaki itu berjaya memperisterikannya, lelaki boleh dikatakan sudah mencapai perpaduan.

Ustaz itu berpandangan usaha perlu diperhebatkan untuk menghasilkan perpaduan negara tanpa mengira agama yang dianuti atau kepercayaan politik. Bagi beliau, ahli politik suka menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan mereka dan ini merugikan rakyat.

Kita yang serius untuk melihat kesejahteraan negara perlu memulakan langkah dengan menyayangi jiran kira tanpa mengira kaum. Sekiranya kita lakukan perkara ini, sudah tentu anak-anak kita akan mengikut jejak langkah kita.

Dalam hal ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kementerian mempunyai peranan yang besar. Pihak berkenaan perlu berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan serta institusi agama untuk menghasilkan program bagi penyatuan rakyat Malaysia.

Bahan ilustrasi untuk buku teks Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Melayu dan Sejarah perlu dikaji semula bagi menggambarkan masyarakat yang mendambakan perpaduan. Saya membangkitkan perkara ini kerana banyak ilustrasi buku teks menggambarkan orang India sebagai gengster dan orang Cina sebagai 'Ah Long'.

Nampaknya sambutan Hari Raya kali ini bukan sahaja membuatkan berat badan saya bertambah beberapa kilo tetapi ia juga membuka mata dan minda saya mengenai perpaduan negara. Tidak akan ada perpaduan sekiranya kita bertengkar untuk memenangi perbincangan. Cara kita berfikir mungkin berbeza tetapi kita masih boleh menyuarakan pandangan secara profesional dan seimbang untuk membina negara  ini.

 

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan