RENCANA

PENDAPATAN PER KAPITA TINGGI KUNCI TANGANI RASUAH

17/10/2018 01:33 PM

Oleh Ravichandran D.J Paul

 

SEOUL (Bernama) -- Pada musim bunga 1993, ketika Chung-Lyol Lee memandu ke bandar bersejarah Gyeongju untuk bercuti bersama keluarganya, seorang anggota polis mengarahkannya berhenti atas alasan beliau memandu melebihi had laju.

Sebaik sahaja memberhentikan kenderaan, Lee keluar lalu menunjukkan lesen memandunya kepada anggota polis itu yang bertanyakannya “kenapa anda menunjukkan lesen,” yang secara tersirat menunjukkan beliau mahukan wang. Itu adalah pengkisahan ringkas oleh Lee, seorang pakar ekonomi, mengenai rasuah pada satu ketika dahulu di Korea Selatan apabila ditanya Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Wahab akan pendapat beliau mengenai masalah rasuah di Malaysia.

“Itu dulu, tetapi sekarang anda akan menghadapi masalah besar jika hulur rasuah (di Korea Selatan). Korea Selatan masih  memerangi rasuah dan tidak ada yang terkecuali,” kata Lee yang merupakan ketua pengarah Korea Institute of Southeast Asian Studies yang menyumbang kepada penyelidikan rantau Asia Tenggara dan diplomasi sivil menerusi pendidikan.   

Bernama menemu bual Lee ketika lawatan media ke Seoul yang ditaja Korean Culture and Information Service baru-baru ini.

Pada 1998, Korea Selatan menduduki tempat ke-43 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) dengan Malaysia berada pada kedudukan lebih baik di tangga ke-29 daripada 85 negara dalam senarai itu. Bagaimanapun, pada 2017 Korea Selatan berada pada tempat ke 55 dan Malaysia pula jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara yang tersenarai.

Bagi Malaysia, gejala rasuah sudah mencapai tahap membimbangkan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyatakan bahawa rasuah merupakan masalah utama di Malaysia sekarang ini. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengakui bahawa rasuah adalah masalah serius di Malaysia, namun masih terkawal.

 

PERTUKARAN REJIM CETUS PERANG RASUAH

Korea Selatan memulakan perang terhadap rasuah secara besar-besaran setelah parti yang memerintah negara itu sejak kemerdekaan dikalahkan oleh pihak pembangkang di bawah pimpinan Kim Dae Jung pada 1997, justeru membuka laluan lebih luas untuk pembaharuan ekonomi dan demokrasi.

Sejak itu, langkah tegas terus diambil dalam memerangi rasuah dengan Lee menjelaskan satu demi satu bagaimana hampir kesemua bekas presiden Korea Selatan dikenakan tindakan, termasuk yang terbaharu Park Geun-hye, atau anak-anak mereka akibat rasuah serta salah guna kuasa ketika berkuasa. Malah, ramai tokoh korporat juga pernah menjadi tajuk utama media berikutan amalan rasuah.       

Kini, Korea Selatan adalah salah sebuah negara ekonomi terbesar dalam G20, juga negara perindustrian dan berpendapatan tinggi, dan merupakan model pembangunan yang boleh dicontohi negara lain termasuk Malaysia.

Lee, yang merupakan dekan Kolej Dasar Awam, Korea University, Kampus Sejong menunjukkan persamaan antara Malaysia dan Korea di mana perubahan rejim pemerintahan julung kali sejak kemerdekaan menjadi pencetus utama pembaharuan dan perang terhadap rasuah.   

Walaupun banyak yang perlu dilakukan dalam usaha menangani rasuah di Malaysia, Lee yang mempunyai ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi berkata berdasarkan pemerhatiannya, Malaysia terlebih dahulu perlu membebaskan diri daripada jerat pendapatan sederhana. Ini katanya kerana pertumbuhan pendapatan yang rendah juga menyumbang kepada rasuah.

Beliau berkata KDNK per kapita Malaysia hanya menyaksikan kenaikan kecil iaitu daripada ASD7,000 pada 2000 kepada ASD9,806 pada 2017. Sebagai perbandingan, KDNK per kapita Korea Selatan meningkat hampir tiga kali ganda daripada ASD11,948 hingga ASD29,743 dalam tempoh sama, sekali gus  membantu negara itu dalam menangani rasuah dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Saya rasa Malaysia sepatutnya berusaha menggandakan KDNK per kapita kepada sekitar ASD20,000 jika negara itu ingin terus maju dan memerangi rasuah dengan berkesan,” katanya sambil menambah bahawa KDNK per kapita negara perlu meningkat dua kali ganda setiap 10-15 tahun didorong oleh produktiviti yang lebih tinggi dan perubahan dalam struktur ekonomi.

 

PELAN HALA TUJU EKONOMI BAHARU

Bagaimanapun, untuk menggandakan KDNK per kapita, sesebuah negara berkenaan perlukan satu ‘roadmap’ atau pelan struktur ekonomi baharu.

“Katakanlah untuk KDNK ASD10,000 per kapita (kini) rakyat Malaysia memasang kereta yang dibuat oleh orang lain, jadi untuk menggandakan pendapatan itu, negara perlu membuat kereta sendiri dan untuk lebih maju, negara itu harus melakukan lebih banyak perkara dengan sendiri. Jadi, setiap kali mahu KDNK per kapita berganda, hendaklah melakukan perubahan dalam struktur ekonomi.

“Selagi anda mempunyai wang, boleh menerokai sektor seperti pembinaan, pengeluaran dan pelaburan tetapi wajar bertanyakan diri sendiri jika langkah itu mampan, berdaya saing dalam pasaran global dan apakah Malaysia bersedia untuk bersaing?

Walaupun Malaysia berminat dengan pelaburan langsung asing tetapi ia mungkin tidak membawa hasil yang diinginkan.

"Sebagai contoh, kilang pengeluaran telefon bimbit Samsung yang terbesar di Vietnam menyediakan pekerjaan untuk lebih dari 100,000 orang. Walaupun telefon bimbit paling canggih syarikat itu dihasilkan di Vietnam, ia hanya membawa nilai yang sangat sedikit kepada ekonomi negara itu kerana kebanyakan komponen datang dari luar. Vietnam hanya memasang telefon dan tidak mendapat manfaat dalam pembangunan teknologi atau aktiviti hiliran. 

“Kita perlu mengubah model ekonomi negara bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan rakyat tetapi juga dalam menghadapi kitaran ekonomi yang membawa pelbagai cabaran. Pengilang kereta Korea Selatan Daewoo Motor Co.Ltd mengulung tikar ekoran Krisis Kewangan Asia kerana ia hanya memasang kereta menggunakan teknologi dan komponen asing manakala rakan-rakannya seperti Hyundai dan Kia dapat bertahan kerana syarikat membangunkan teknologi sendiri dan mampu berdikari. 

Jadi apakah yang Malaysia perlu lakukan? Lee berkata segalanya terserah kepada Malaysia untuk menentukan sektor mana yang harus diterokai untuk menaikkan tahap pendapatan dengan menilai sumber dan kecekapan sendiri. Beliau mendapati bahawa Malaysia sudah membina kekuatannya dalam beberapa bidang seperti komoditi, kewangan Islam dan industri Halal yang boleh terus dibangunkan.

Apabila diberitahu bahawa Malaysia ingin meneroka bidang ekonomi digital, beliau berkata Malaysia dengan jumlah penduduk 31 juta mempunyai potensi dalam perdagangan digital tetapi pada masa sama beliau bertanyakan jika negara itu benar-benar bersedia.

Memberi syarikat e-teksi(e-hailing) Malaysia GRAB sebagai contoh, beliau berkata,”Anda boleh menggunakan perkhidmatan e-teksi GRAB di kebanyakan negara Asia Tenggara dan syarikat global juga menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan syarikat itu.

“Bagaimanapun, saya terkejut bahawa syarikat yang dimulakan oleh dua orang anak muda Malaysia itu berhijrah ke Singapura. Anda mahu menarik pelbagai syarikat dari seluruh dunia untuk melabur sebaliknya dalam kes ini, syarikat anda sendiri pula berasa lebih sesuai berpindah ke tempat lain. Mengapa begitu? Sekiranya anda menyediakan persekitaran dan peluang yang lebih baik, mereka tidak perlu berpindah ke tempat lain. Grab merupakan sebuah syarikat global yang berasal dari Malaysia,” katanya.

 

MEMBENTUK RAKYAT MALAYSIA YANG INOVATIF

Menurut Lee selain daripada keperluan mewujudkan struktur ekonomi baharu, perubahan corak pemikiran rakyat adalah penting untuk transformasi ekonomi sesebuah negara.

Pendemokrasian dan kebebasan bagi warga Korea Selatan sejak 1990-an membuatkan golongan muda Korea berfikir secara berbeza dan menjadikan mereka lebih inovatif dan kreatif, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Kebangkitan syarikat gergasi Korea Selatan, antara lain seperti Samsung Group, LG, Hyundai, POSCO, Lotte menjadi bukti daya inovasi rakyat Korea Selatan dan kesediaan mereka untuk bersaing di pentas global. Dan semestinya, budaya K-Wave yang menguasai imaginasi dunia.

Oleh itu, dalam usaha membasmi rasuah di Malaysia, rakyat Malaysia perlu berpandangan lebih luas. Ia tidak mudah dilaksanakan kerana mereka yang berkuasa sentiasa terdedah kepada rasuah. Sehinggakan masih terdapat kes-kes rasuah di Korea Selatan hingga ke hari ini walaupun pelbagai langkah tegas diambil. 

Bagaimanapun, langkah memperbaiki ekonomi adalah satu permulaan yang baik dalam menangani ancaman rasuah dan mencapai impian Malaysia Baharu.

 

Diterjemahkan oleh Sarimah Othman

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan