SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Berita AM


Lapan bahagian badan manusia ditemui dalam semak

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
MELAKA, 10 Okt -- Polis menemui sekurang-kurangnya lapan bahagian badan manusia tidak lengkap di semak berhampiran Jalan utama Kampung Ladang berhampiran kawasan perindustrian Krubong dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata individu itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum bahagian-bahagian badannya itu dibuang di sini kira-kira lima hari lepas.

"Saya boleh katakan kita temui sekurang-kurangnya lapan bahagian badan manusia dalam keadaan tidak lengkap di atas tanah dan masih belum dapat memastikan berapa mangsa terlibat. Bahagian badan serta identiti… hanya dapat diketahui selepas selesai proses bedan siasat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam ini.

Beliau berkata maklumat awal penemuan bahagian badan itu diketahui selepas seorang pekerja lelaki berumur 37 tahun membuat laporan polis di balai polis terdekat iaitu Balai Polis Tanjung Minyak.

Katanya menurut lelaki itu dia terjumpa bahagian badan manusia itu di atas tanah ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput kira-kira pukul 4.00 petang tadi.

Afzanizar berkata bahagian badan manusia itu akan dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Menurutnya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana polis percaya ia berkaitan dengan kes pembunuhan.

“Kita masih belum membuat sebarang tangkapan, sekiranya orang ramai mempunyai kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu