DUNIA

KIRA-KIRA 20,000 PENDUDUK DI IRAN TERPUTUS BEKALAN AIR SUSULAN SERANGAN AS

11/06/2026 08:35 AM

TEHRAN, 10 Jun (Bernama-dpa) -- Ribuan penduduk di kawasan pantai selatan Iran terputus bekalan air ekoran serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) pada sebelah malam yang memusnahkan infrastruktur awam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media Iran pada Rabu.

Bekalan air minuman ke Bandar Kuhestak di Wilayah Hormozgan serta 10 perkampungan lain dilaporkan terputus sepenuhnya, lapor Agensi Berita Mehr yang memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan.

"Kesan daripada insiden ini, lebih 20,000 penduduk di rantau berkenaan yang sememangnya hidup dalam keadaan iklim yang sukar dan cuaca panas melampau, kini terputus akses kepada bekalan air," menurut laporan itu.

Media Iran turut menyiarkan foto yang menunjukkan tangki takungan air yang musnah. Suhu di kawasan pesisir pantai selatan Iran ketika ini dilaporkan melonjak jauh melebihi 30 darjah Celsius.

Pertempuran antara AS dan Iran kembali tercetus seketika pada sebelah malam, sekali lagi menguji perjanjian gencatan senjata rapuh yang telah berkuat kuasa sejak April lepas.

Menurut Presiden AS Donald Trump, serangan terbaharu Amerika ke atas Iran itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera Iran menembak jatuh sebuah helikopter tentera AS di luar pantai Oman pada Isnin malam.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas ke atas pangkalan-pangkalan AS di rantau Teluk serta di Jordan, lapor media Iran.

-- BERNAMA-dpa

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan