KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Great Wall Motor (GWM) Malaysia mempamerkan ekosistem mobiliti paling komprehensif pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 dari 12 hingga 21 Jun, 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pameran berkenaan menghimpunkan pelbagai portfolio kenderaan, teknologi serta pengalaman interaktif di bawah tema “Untuk Setiap Pengguna, Untuk Setiap Perjalanan”.
Satu daripada tarikan utama pada pameran tahun ini iaitu zon pengalaman di luar jalan raya khas Tank GWM.
Di sini, para pengunjung boleh menyaksikan sendiri keupayaan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkonsepkan pengembaraan jenama itu merentasi litar berhalangan yang direka khas bagi mendemonstrasikan teknologi pacuan empat roda termaju serta kehebatan prestasi lasaknya.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia Roslan Abdullah berkata pameran berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam membina ekosistem mobiliti yang mampan dan berpaksikan pelanggan di Malaysia.
Katanya ini memandangkan pengguna kini semakin mengharapkan teknologi termaju, praktis, kebolehpercayaan serta pengalaman pemilikan yang lancar.
“Kehadiran kami di KLIMS 2026 bukan sekadar untuk memperkenalkan produk baharu tetapi untuk menunjukkan kekuatan ekosistem syarikat yang lebih luas iaitu daripada penyelesaian mobiliti pintar dan rangkaian kuasa yang pelbagai sehinggalah kepada sokongan pasca jualan serta penglibatan pelanggan.
“Kami mahu rakyat Malaysia melihat bagaimana GWM membina sebuah jenama mobiliti yang mampu berkembang seiring dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
GWM menyatakan ruang pameran syarikat akan menunjukkan bagaimana jenama itu kini berkembang melangkaui sekadar produk individu untuk menawarkan ekosistem mobiliti lengkap yang memenuhi pelbagai keperluan pemandu di Malaysia.
Jelasnya, pameran syarikat juga menunjukkan daripada perjalanan ulang-alik di bandar dan pengangkutan keluarga sehinggalah kepada mobiliti premium serta aktiviti kembara gaya hidup.
“Para pengunjung boleh menerokai portfolio pelbagai jenama dan pelbagai rangkaian kuasa GWM Malaysia yang semakin berkembang.
“Ia menampilkan kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV). Ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menawarkan penyelesaian mobiliti yang praktikal dan sedia untuk masa hadapan di setiap peringkat perjalanan pelanggan,” katanya.
Antara tumpuan utama pada pameran itu termasuk pratonton awam pertama bagi Ora 5 HEV dan Haval H7 Hi4 PHEV yang memperlihatkan fasa seterusnya dalam strategi mobiliti berkuasa elektrik GWM di Malaysia.
Walaupun setiap model memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza, kedua-duanya mencerminkan visi GWM yang lebih luas iaitu untuk menyediakan kenderaan, teknologi dan rangkaian kuasa yang tepat bagi setiap gaya hidup serta senario pemanduan.
Ruang pameran itu turut menampilkan barisan kenderaan sedia ada GWM Malaysia termasuk Haval H6 HEV, sebuah SUV hibrid pintar yang direka untuk mobiliti keluarga moden; Wey G9 Hi4 PHEV, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) hibrid pintar premium yang menggabungkan prestasi, kecekapan, dan keselesaan selain Tank 300 HEV dan Tank 500 HEV.
Turut dipamerkan SUV untuk luar jalan raya iaitu gaya hidup yang mengadunkan keupayaan lasak dengan teknologi hibrid termaju serta Ora Good Cat, sebuah kenderaan elektrik (EV) urban yang direka untuk pemanduan bandar yang saling berhubung.
Selain daripada pameran kenderaan, para pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang direka khas untuk meningkatkan penglibatan serta turut ditunjukkan penemuan produk.
Ini termasuk pameran teknologi, peluang pandu uji, permainan interaktif, aktiviti cabutan bertuah, ganjaran tempahan eksklusif serta aktiviti komuniti pemilik sepanjang tempoh pameran berlangsung.
Memandangkan industri automotif terus beralih ke arah mobiliti yang lebih pintar dan mampan, GWM kekal memberi tumpuan untuk memperluas kehadirannya merentasi pelbagai rangkaian tenaga alternatif termasuk HEV, PHEV, BEV serta teknologi tenaga masa hadapan.
Para pengunjung dijemput untuk merasai sendiri pengalaman ekosistem mobiliti lengkap GWM di KLIMS 2026 serta menerokai bagaimana jenama ini terus mentakrifkan semula mobiliti bagi setiap perjalanan rakyat Malaysia.
KLIMS 2026 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dan diiktiraf oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan sokongan strategik daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
-- BERNAMA
