PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang melaksanakan kajian semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 bermula Januari hingga September 2026.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan kajian berkenaan bagi memastikan kadar gaji minimum negara kekal relevan dengan keadaan ekonomi semasa, kos sara hidup, produktiviti pekerja dan perkembangan pasaran buruh negara.
Menurut kenyataan itu, satu daripada kaedah dalam kajian tersebut ialah menjalankan tinjauan secara dalam talian bermula 6 Mei hingga 19 Jun ini yang terbuka kepada semua majikan dan pekerja sektor swasta di seluruh negara.
"Dapatan daripada kajian ini akan digunakan sebagai input penting dalam proses penilaian dan syor kepada kerajaan berkaitan pelaksanaan serta penetapan dasar gaji minimum negara pada masa hadapan. Ia turut membantu memastikan keseimbangan antara kebajikan pekerja, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi negara dapat terus diperkukuh secara menyeluruh," menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan sesi libat urus (SLU) akan turut dilaksanakan di 21 lokasi seluruh negara bermula 30 Mac hingga 29 April bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung daripada majikan, pekerja, persatuan majikan serta kesatuan sekerja berhubung pelaksanaan PGM 2024.
“Sesi berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman pihak berkepentingan mengenai dasar gaji minimum selain menggalakkan pelaksanaan sistem gaji yang lebih efektif, adil dan mampan selaras dengan keperluan semasa negara,” menurut kenyataan itu.
KESUMA menegaskan semua maklumat dan data yang dikumpulkan menerusi tinjauan tersebut adalah sulit dan hanya digunakan bagi tujuan kajian dasar serta penambahbaikan pelaksanaan dasar gaji minimum negara.
Sehubungan itu, kementerian tersebut menyeru semua majikan dan pekerja yang terlibat supaya memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam kaji selidik itu melalui kod QR yang disediakan.
Selain itu, KESUMA turut mengalu-alukan memorandum atau pandangan bertulis daripada majikan, persatuan majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang boleh dihantar melalui e-mel kajianpgm@mohr.gov.my.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan pandangan semua pemegang kepentingan diambil kira dalam membentuk dasar gaji minimum yang lebih inklusif, responsif dan mampan demi masa depan tenaga kerja negara.
-- BERNAMA
