KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sebanyak 57 kapal Flotilla Sumud Global (GSF) kini bersedia untuk meneruskan pelayaran menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata ini susulan 30 kapal GSF yang berlayar dari Kepulauan Crete, Greece telah selamat tiba di Pelabuhan Marmaris, Turkiye, 2 pagi, semalam.
“Flotilla ini telah bergabung dengan kapal GSF yang sedia ada di Pelabuhan Marmaris menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 57 buah kapal.
“SNCC mengesahkan bahawa seluruh kru kapal kini sedang menjalani proses koordinasi semula melibatkan penyusunan peserta, keperluan logistik, teknikal pelayaran serta persiapan akhir sebelum flotilla meneruskan fasa akhir pelayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sani Araby turut mengesahkan semua peserta Malaysia berada dalam keadaan baik, stabil dan bersedia untuk meneruskan pelayaran kemanusiaan bersama delegasi antarabangsa yang lain.
Dalam pada itu, SNCC mengesahkan dua aktivis kemanusiaan antarabangsa merangkap jawatankuasa induk GSF iaitu Thiago Ávila dan Saif Abukeshek telah dibebaskan semalam selepas ditahan di perairan antarabangsa, berdekatan Greece selama 11 hari sejak 30 April lepas oleh pihak rejim.
Sani Araby berkata pencerobohan rejim Israel ke atas kapal GSF di perairan antarabangsa dan penahanan kedua-dua aktivis tersebut merupakan satu pencabulan serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Pada masa sama, ia mencerminkan realiti lebih besar penahanan berterusan lebih 9,500 rakyat Palestin di penjara tanpa proses keadilan sewajarnya, termasuk berdepan risiko hukuman mati, akibat undang-undang baharu yang diluluskan oleh Knesset (parlimen Israel) baru-baru ini,” katanya.
Pada 30 April lepas, Sani Araby mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia iaitu Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Dalam pada itu, Sani Araby menegaskan bahawa misi kali ini menekankan mengenai usaha untuk mendesak dunia mengabsahkan koridor maritim kemanusiaan di bawah undang-undang antarabangsa, yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperkukuhkan advokasi pembebasan Gaza dan Palestin dengan menggandakan usaha menyebarkan fakta yang sahih, menangkis propaganda rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media dan media sosial.
“SNCC turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.
“Sebarang penyebaran maklumat hendaklah berpandukan sumber yang sahih dan berautoriti serta disertai dengan usaha advokasi yang berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.
-- BERNAMA
