JELI, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini memasuki fasa kedua pelaksanaan Bancian Ekonomi 2026 di seluruh negara, melibatkan liputan terhadap syarikat berskala sederhana dan besar, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata setakat ini lebih 500,000 liputan bancian telah dilaksanakan membabitkan 35 sektor utama termasuk pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Menurut Mohd Uzir, sebelum ini DOSM telah selesai menjalankan bancian terhadap syarikat berskala kecil dan kini memberi tumpuan kepada industri serta syarikat berskala sederhana dan besar.
“Selepas ini, kami akan bergerak kepada industri dan syarikat berskala sederhana serta besar kerana sebelum ini syarikat berskala kecil telah selesai diliputi dalam Bancian Ekonomi.
“Hasrat kami ialah untuk mengeluarkan data operasi seawal hujung tahun ini bagi dimanfaatkan semua pihak,” katanya selepas menghadiri Program MD Jeli Stats Nature Half Marathon 2026 di Padang Istiadat Jeli di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata bancian ekonomi amat penting bagi membantu kerajaan merangka dan memperkukuh ekonomi negara.
“Hasil bancian ini akan dijadikan penanda aras dan bahan penilaian oleh agensi serta kementerian untuk melihat sektor yang telah berkembang dan sektor yang masih memerlukan perhatian.
“Sebagai contoh, jika kerajaan menyasarkan 30 peratus tenaga buruh mahir, data Bancian Ekonomi yang kami keluarkan akan menyediakan maklumat berkaitan tenaga kerja mahir dan sektor berkaitan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sistem statistik negara kini berada di kedudukan pertama dunia daripada 167 negara, meningkat berbanding kedudukan ke-67 sebelum ini.
“Malaysia kini menerajui statistik global dan kami akan terus komited memperkukuh pengeluaran statistik bagi menyokong pembangunan ekonomi negara,” katanya.
-- BERNAMA
