EKONOMI

SEKTOR PERKHIDMATAN TUMBUH 8.1 PERATUS, HASIL CECAH RM682 BILION PADA SUKU PERTAMA

11/05/2026 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Sektor perkhidmatan mencatat pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026 dengan hasil mencecah RM682.0 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi kenyataan Perangkaan Perkhidmatan Suku Tahunan, Suku Tahun Pertama 2026 hari ini, DOSM memaklumkan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 7.7 peratus manakala hasil mencecah RM512.3 bilion bagi tempoh sama.

“Prestasi kukuh ini didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang kekal stabil serta permintaan sempena musim perayaan, di samping peningkatan aktiviti perjalanan dan momentum pelancongan yang terus berkembang,” menurutnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi memberangsangkan itu didorong oleh aktiviti ekonomi domestik yang terus kukuh sepanjang suku pertama berkenaan.

“Perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri manakala peningkatan pergerakan rakyat dalam negara, aktiviti pelancongan yang rancak serta penganjuran pelbagai acara dan festival di seluruh negara terus menyokong momentum pertumbuhan sektor ini,” katanya.

Dalam pada itu, DOSM memaklumkan segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan terus mencatat pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2026 dengan peningkatan sebanyak 9.5 peratus dan meraih hasil RM97.3 bilion.

“Prestasi ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan ketersambungan digital, logistik dan pengangkutan sejajar dengan peningkatan aktiviti ekonomi domestik, mobiliti yang lebih kukuh dan pergerakan berkaitan pelancongan sepanjang suku itu,” menurutnya.

Pada masa sama, hasil subsektor maklumat dan komunikasi meningkat sebanyak 8.7 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh landskap digital Malaysia terus tumbuh pesat dengan pengembangan pusat data berskala besar, didorong oleh peningkatan keperluan terhadap pengkomputeran awan, aplikasi kecerdasan buatan, sistem keselamatan siber dan infrastruktur digital berkapasiti tinggi.

Menurut DOSM, sejajar dengan peningkatan aktiviti pelancongan dan permintaan domestik, subsektor pengangkutan dan penyimpanan terus mengekalkan momentum positif dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus pada suku pertama 2026.

“Hasil lebih tinggi diraih pengangkutan darat, perkhidmatan pos dan kurier dan pengangkutan udara yang masing-masing berkembang sebanyak 11.1 peratus, 11.8 peratus dan 12.0 peratus.

“Dari segi perbandingan suku tahunan, sektor perkhidmatan terus mengekalkan momentum dengan peningkatan hasil sebanyak 0.6 peratus berbanding suku tahun keempat 2025,” menurutnya.

Pertumbuhan itu, menurut DOSM, didorong oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan (0.4 peratus), diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (1.6 peratus); segmen perkhidmatan profesional, hartanah dan pentadbiran serta khidmat sokongan (1.5 peratus). 

Memperincikan pendapatan e-dagang pada suku pertama 2026, Mohd Uzir berkata segmen itu berjumlah RM319.7 bilion atau mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 2.8 peratus manakala dari segi perbandingan suku tahunan, pendapatan segmen itu meningkat sebanyak 1.1 peratus.  

Dari segi perkembangan pasaran buruh, beliau berkata jumlah guna tenaga dalam sektor perkhidmatan meningkat kepada 4.6 juta orang dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.7 peratus.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat sebanyak 4.4 peratus, diikuti oleh subsektor perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti dengan pertumbuhan sebanyak 4.0 peratus,” katanya.

Menurut DOSM, secara keseluruhan, sektor perkhidmatan terus mengekalkan momentum pertumbuhan positif pada suku pertama 2026, disokong oleh pengukuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan pendapatan isi rumah, mobiliti pengguna yang lebih tinggi serta pengembangan berterusan dalam sektor pelancongan, logistik dan perkhidmatan berkaitan pengguna.

“Pertumbuhan ini turut diperkukuh oleh peningkatan aktiviti e-dagang, perkhidmatan digital dan perbelanjaan isi rumah yang stabil, sekali gus mencerminkan daya tahan sektor ini dalam mendepani persekitaran ekonomi yang dinamik,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan