AM

PESTA PANTUN HAWANA-DBP PERKUKUH INTEGRITI WARTAWAN, MARTABAT BAHASA DALAM ERA DIGITAL - KPE BERNAMA

09/05/2026 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kewartawanan berintegriti serta memartabatkan warisan budaya bangsa di era digital, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata penganjuran edisi kedua program itu bukan sekadar pertandingan seni berbahasa, malah mencerminkan komitmen berterusan Bernama dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan mengangkat pantun sebagai medium komunikasi yang sarat nilai budaya, kebijaksanaan serta etika masyarakat.

“Pantun bukan sekadar susunan kata yang indah tetapi mencerminkan nilai masyarakat kita yang penuh sopan santun, sindiran berhemah, nasihat yang mendalam serta semangat perpaduan.

“Dalam era digital dan teknologi yang berkembang pesat hari ini, warisan seperti pantun perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.

Hadir sama Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Menjalankan Tugas Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Roziah Md Yunus dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Azran Arip.

Nur-ul Afida berkata sebagai agensi berita nasional, Bernama memikul tanggungjawab besar bukan sahaja sebagai penyampai maklumat dan berita tetapi juga dalam membentuk naratif nasional serta memperkukuh identiti Malaysia dalam landskap media global yang semakin kompetitif.

Beliau berkata kerjasama strategik antara Bernama dan DBP dalam menganjurkan pesta pantun itu sekali gus mencerminkan pendekatan bersepadu antara institusi media dan badan bahasa bagi memperkasakan kandungan tempatan berkualiti tinggi.

“Ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan bahasa yang relevan dalam ekonomi digital.

“Pada masa yang sama, inisiatif seperti ini juga menyokong pembangunan bakat generasi baharu, khususnya dalam kalangan pengamal media muda agar mempunyai kepekaan terhadap nilai bahasa, budaya dan etika komunikasi,” katanya.

Mengulas tema “Kewartawanan dan Teknologi” yang diketengahkan pada pesta pantun kali ini, Nur-ul Afida berkata perkembangan teknologi termasuk platform digital, media sosial dan kecerdasan buatan telah mengubah landskap kewartawanan secara menyeluruh.

“Namun, dalam kepesatan ini, satu perkara tidak boleh dikompromi ialah nilai kewartawanan itu sendiri seperti ketepatan, integriti, kredibiliti, tanggungjawab dan etika dalam penyampaian maklumat,” katanya.

Beliau berkata perkara itu juga selari dengan tema sambutan HAWANA 2026 iaitu “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, yang menekankan kepentingan penyampaian maklumat secara jujur, tepat dan bertanggungjawab bagi membina kepercayaan masyarakat terhadap media.

Dalam pada itu, Nur-ul Afida merakamkan penghargaan kepada lapan pasukan yang menyertai pertandingan itu, iaitu Bernama, RTM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Astro Radio News, Berita Harian, TV3, Sinar Harian dan Media Selangor.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan ahli jawatankuasa Bernama yang bertungkus lumus membuat persiapan dan melaksanakan penganjuran Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026, serta menghargai kerjasama dan sokongan daripada DBP dan Kraftangan Malaysia sebagai rakan strategik.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 adalah acara kedua selepas Forum Media HAWANA pada Khamis, yang menjadi program pengisian menjelang kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.

HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana merupakan platform kemuncak bagi menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan