KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Persaingan sengit antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan TV3 pada pertandingan akhir Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 hari ini menyaksikan kedua-dua pasukan kini hanya selangkah untuk dinobatkan sebagai juara.
Pemenang pertandingan itu akan diumumkan pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang pada 20 Jun ini.
Juara bakal membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala naib juara menerima RM2,000 selain masing-masing turut membawa pulang trofi dan sijil.
Sementara itu, kumpulan pemantun Radio Televisyen Malaysia (RTM) menduduki tempat ketiga diikuti Berita Harian (BH) di tempat keempat.
Wakil Bernama Muhammad Syukri Khairulannuar dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik, manakala pasukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memenangi Anugerah Busana Terbaik.
Pasukan Astro Audio News, Sinar Harian, Jakim dan Media Selangor pula masing-masing menerima hadiah sagu hati.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.
Sementara itu, Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Azimin Daud yang juga ketua juri berkata secara keseluruhan, tahap persembahan peserta pada edisi kali ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata pertandingan tahun ini turut menampilkan kelainan apabila terdapat peserta yang membawa elemen pantun lisan dalam persembahan mereka, sekali gus memberikan warna baharu kepada pertandingan yang lazimnya lebih menitikberatkan aspek rima sempurna.
Azimin berkata kebanyakan peserta berjaya mengangkat tema kewartawanan dan teknologi dengan baik termasuk menyentuh isu berkaitan kecerdasan buatan (AI), teknologi komunikasi, aeroangkasa dan pertanian moden.
“Penggunaan istilah moden dalam pantun bukan satu kesalahan, namun peserta perlu lebih kreatif memilih padanan pembayang dan rima supaya susunan pantun kekal indah serta tidak menjejaskan keaslian seni pantun Melayu.
“Unsur jenaka yang dibawa peserta berjaya menghidupkan suasana pertandingan selain menyampaikan teguran secara santai, menjadikan pesta pantun itu lebih dekat dengan penonton,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Muhammad Syukri berkata Anugerah Pemantun Terbaik amat bermakna buat dirinya memandangkan penyertaan kali ini merupakan kemunculan semulanya dalam pertandingan pantun selepas kali terakhir beraksi di pentas kebangsaan pada 2019 ketika mewakili sekolah menengah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berpeluang mewakili agensi berita ini. Saya sendiri tidak sangka boleh menerima anugerah ini, tetapi saya cuba buat yang terbaik.
“Persiapan dilakukan dalam tempoh kira-kira seminggu sahaja dan memang mencabar kerana setiap pantun perlu diteliti dari segi maksud, pembayang dan susunan rima supaya benar-benar berkualiti,” katanya.
-- BERNAMA
