AM

MEDIA PERLU TERUS BERPERANAN SEBAGAI JAMBATAN MAKLUMAT - ABDUL HALIM

09/05/2026 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Media perlu terus memainkan peranan sebagai sumber rujukan maklumat yang sahih dan tepat kepada rakyat, terutama ketika dunia berdepan cabaran ketidakpastian ekonomi serta krisis bekalan global.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata cabaran itu turut disertai dengan penularan berita palsu yang semakin mudah tersebar dalam era digital.

“Dalam mendepani cabaran semasa, dunia kini berdepan dengan ketidakpastian ekonomi serta krisis bekalan global yang turut memberi kesan kepada Malaysia termasuk peningkatan kos bahan api dan harga barangan keperluan harian.

“Dalam keadaan ini, peranan media amat penting sebagai jambatan maklumat yang menyampaikan berita sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada rakyat agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu yang boleh mencetuskan keresahan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 di Kompleks Kraf, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak.

Hadir sama Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Roziah Md Yunus serta Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Industri, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Azran Arip.

Mengenai Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 yang dianjurkan Bernama dengan kerjasama DBP, Abdul Halim berkata warisan pantun terus hidup sebagai medium yang menyatukan generasi lama dan baharu dalam pelbagai adat dan budaya masyarakat Melayu.

Beliau berkata Bernama sebagai agensi berita nasional turut memainkan peranan penting dalam memastikan suara budaya tidak tenggelam dalam arus teknologi dan ledakan maklumat global.

“Wartawan bukan sahaja menyampaikan berita, tetapi juga menjadi saksi zaman dan penjaga memori bangsa,” katanya.

Selain meraikan wartawan, Abdul Halim berkata pesta pantun itu turut mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, komunikasi dan perpaduan, selain membuktikan dunia kewartawanan turut berperanan sebagai pemelihara warisan budaya dalam membentuk masyarakat berilmu, beretika dan berbahasa.

“Semoga program ini terus menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam industri media, di samping menggalakkan generasi wartawan muda untuk lebih menghargai dan mencintai warisan budaya bangsa.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, di samping memperkukuh industri media agar terus berkembang secara mampan dan berdaya saing,” katanya.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 adalah acara kedua selepas Forum Media HAWANA pada Khamis, sebagai program pengisian menjelang kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 20 Jun ini dengan tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana merupakan platform kemuncak bagi menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan