JENAYAH & MAHKAMAH

MRSM PENDANG ANTARA PREMIS TERJEJAS KEJADIAN RIBUT, ANGIN KENCANG

27/04/2026 10:42 PM

PENDANG, 27 April (Bernama) -- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang antara premis yang terjejas dalam kejadian ribut dan angin kencang yang melanda daerah itu petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata kejadian kira-kira 6 petang itu melibatkan beberapa mukim termasuk Padang Pusing, Ayer Putih dan Rambai, Kampung Gajah Mati, Paya Mat Inson serta Kampung Lampam.

“Beberapa rumah dan premis mengalami kerosakan serta kejadian pokok tumbang sehingga menghalang laluan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.30 petang dan enam anggota bersama sebuah kenderaan digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan awal.

“Bancian masih dijalankan dan pemantauan berterusan dilakukan di lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataan memberitahu ribut turut melanda Mukim Serdang di daerah Bandar Baharu pada 3.30 petang yang menyebabkan kerosakan rumah, premis kerajaan dan bangunan persendirian.

Menurut APM, antara lokasi terjejas ialah sekitar Masjid Al Fateh, Kampung Batu 18, Pekan Serdang dan Klinik Kesihatan Serdang.

Kenyataan itu memaklumkan anggaran awal mendapati empat rumah dan empat premis kerajaan terjejas dalam kejadian itu, namun jumlah sebenar masih dalam proses bancian dan tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa setakat ini.

Selain itu, setakat 9.30 malam ini, ribut turut dilaporkan berlaku di daerah Kubang Pasu melibatkan Mukim Pering serta Changlun yang menjejaskan tiga rumah. 

APM memaklumkan antara tindakan awal yang dilakukan adalah menghubungi ketua-ketua kampung terbabit bagi mendapatkan maklumat dan membuat pemantauan ribut di lokasi terlibat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan